*TADABBUR WAHYU SIRI 330*

*2.166.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 170*
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ قَالُواْ بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لاَ يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلاَ يَهْتَدُونَ

170-Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak berfikir dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah?

Ayat ini meneruskan lagi perbincangan berkaitan pertembungan dengan syaitan. Baca ayat ini beberapa kali, kemudian baca pula ayat sebelumnya beberapa kali. Apakah perbezaan yang dapat ditanggapi dalam kedua-dua ayat ini ?

Jika diperhati dan dibandingkan antara dua ayat di atas didapati bahawa ayat sebelumnya telah menggunakan gaya penyataan, sementara ayat 170 ini menggunakan gaya dialog.

Perubahan gaya penyampaian ini membuatkan pembaca tidak jemu untuk terus membaca. Selain itu, gaya dialog memberikan maksud yang lebih luas kerana pembaca dapat menanggapi berbagai maksud daripada dialog.

Dalam ayat ini diterangkan berlakunya perbualan antara dua orang. Orang pertama berkata kepada pihak kedua: ikutlah apa yang diturunkan oleh Allah. Pihak kedua berkata: kami hanya mengikut kebiasaan resam nenek moyang kami.

Pembaca perlu bertanya apakah yang mahu disampaikan melalui perbualan seperti ini. Apa yang penting dan mahu disampaikan oleh ayat ini bukan perbualan seperti itu yang dimurkai oleh Allah.

Akan tetapi maksud daripada perbualan ini ialah ada orang yang meletakkan kebiasaan nenek moyang atau dipanggil adat resam, sebagai perkara yang lebih besar dan perlu dipatuhi melebihi daripada ajaran agama. Perlu diingatkan ajaran agama disebut dalam ayat ini sebagai “apa yang diturunkan oleh Allah”.

Tidak disebut disini secara langsung apakah yang dilakukan oleh mereka yang mengikut adat resam yang belawanan dengan agama itu, namun dapat ditanggapi bahawa adat resam itu adalah adat resa yang buruk.

Ini kerana Allah tidak akan murka kepada perkara yang baik, dalam masa yang sama telah sedia diketahui bahawa perkara yang baik tidak akan bertentangan dengan agama Allah dan tidak akan bertentangan dengan apa yang Allah turunkan.

Bagi menjelaskan bahawa perkara yang dilakukan itu adalah buruk, dijelaskan melalui rangkap terakhir dalam ayat ini. Ia dibawa dalam bentuk pertanyaan sesuai dengan teknik penyampaian ayat yang menggunakan teknik dialog dari awal lagi.

Apakah jika nenek moyang kamu tidka berfikir dan tidak berilmu, apakah kamu akan mengikutnya juga? Soalan seperti ini bukan bermaksud untuk mengetahui jawapan, akan tetapi bermaksud menolak apa yang sedang dilakukan.

Ayat ini juga mahu menerangkan bahawa tindakan kamu mengikut nenek moyang secara membuta tuli adalah salah kerana apa yang dinamakan adat dan resam jika bertentangan dengan akal dan ilmu maka ia adalah perkara yang tidka patut diikuti.

Dalam masa yang sama ayat ini mengisyaratkan kepada pentingnya menggunakan akal dalam mengetahui sesuatu perkara itu benar atau tidak, ini kerana Allah menyebut bahawa adat resam yang diambil daripada nenek moyang yang tidak berfikir dan tidak berilmu itulah yang  buruk dan bertentangan dengan agama.

Selasa
24 Muharram 1440
24 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *