*TADABBUR WAHYU SIRI 331*

*2.167.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 171*

وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا۟ كَمَثَلِ الَّذِى يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ إِلَّا دُعَآءً وَنِدَآءً ۚ صُمٌّۢ بُكْمٌ عُمْىٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ.

Dan bandingan orang-orang kafir, samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak menggunakan akalnya.

Sekali imbas, perbincangan surah al-Baqarah kelihatan telah meninggalkan topik orang yang mengikut jejak langkah syaitan dan mula memasuki topi orang kafir pula.

Namun demikian, sebenarnya tajuk sebenar perbincangan boleh dikatakan masih belum berubah. Bahkan dapat dikatakan bahawa ayat ini menguatkan lagi topik yang dibincangkan sebelum ini.

Ayat ini sebenarnya bersifat menyokong ayat yang lepas kerana menggunakan teknik perumpamaan pula sebagai pengkayaan terhadap teknik penyampaian.

Daripada ayat penyataan kepada ayat berbentuk dialog dan kini dikukuhkan dengan perumpamaan.

Adapun menyebut tentang orang kafir, maka kekufuran adalah salah satu daripada kesan terhadap ajakan dan tipudaya syaitan.

Syaitan mengajak manusia untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan suruhan tuhan dan perkara yang paling jauh dengan ajaran Tuhan ialah kufur dan syirik kepada Allah. Itulah sejauh-jauh penyelewengan yang berlaku dalam hidup manusia.

Dengan itu, ayat ini telah menyebut tentang salah satu daripada kesan mengikut jejak langkah syaitan, iaitu kekufuran.

Sebaik sahaja menyebut tentang kufur, Allah swt memberikan perumpamaan yang mendedahkan betapa buruknya sifat kufur. Ia juga menunjukkan bahawa sangat tidak patut manusia kufur kepada Allah.

Ini kerana sesuatu yang diangkat dan dijulang menyamai kedudukannya sama dengan kedudukan tuhan pada hakikatnya mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa atau kelebihan.

Jika binatang boleh mendengar percakapan manusia sekalipun, binatang masih tidak dapat memberi apa-apa manfaat kerana binatang tidak dapat memahami apa yang mereka dengar.

Jika itu yang berlaku kepada binatang maka bagaimana pula dengan objek-objek yang langsung tidak dapat mendengar dan tidak dapat berinteraksi dengan manusia.

Ayat ini walaupun bagaimana pun mempunyai makna lain. Iaitu boleh juga difahami bahawa perumpamaan binatang yang tidak mampu memahami itu sebenarnya ditujukan kepada orang-orang yang menyembah tuhan selain Allah. Ini kerana mereka ibarat binatang apabila mereka tidak menerima seruan nabi kearah agama yang benar. Hal mereka itu diumpamakan seperti binatang yang hanya mendengar tetapi tidak mampu memahami apa yang didengari.

Rangkap terakhir dalam ayat ini ialah:mereka itu pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak menggunakan akal.

Mereka yang dimaksudkan pekak, bisu dan buta ini ialah orang yang menyembah selain Allah. Sudah tentu keadaan ini adalah perumpamaan dan bukan pada maknanya yang hakiki. Orang yang menyembah selain Allah diibaratkan pekak,bisu dan buta kerana jika pancaindera mereka berfungsi sudah tentu mereka mampu menjadikan maklumat yang mereka dapati itu untuk dinilai oleh akal yang waras.

Kefahaman begini sekaligus menegaskan bahawa akal yang waras adalah neraca kepada memilih kebenaran.

Keadaan pekak, bisu dan buta ini juga boleh dinisbahkan kepada sesuatu yang disembah selain Allah. Ini kerana mereka tidak dapat memberikan apa-apa diatas kedudukan yang diberikan kepada mereka.

Rabu
25 Muharram 1440
25 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *