*TADABBUR WAHYU SIRI 332*

*2.168.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 172*
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُواْ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ.
172- Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu hanya beribadat kepadanya.

Menurut Ibnu Asyur suruhan memakan makanan yang baik ini adalah peringatan kepada umat Islam setelah suruhan memakan makanan yang halal dan baik telah disebut dalam ayat 168 dengan seruan secara umum “wahai manusia”.

Dalam ayat ini, ditujukan secara khusus “wahai orang beriman”, menurut beliau, gesaan ini adalah peringatan agar umat Islam tidak terjerumus kedalam situasi yang telah dilalui oleh kaum yang mengharamkan makanan tertentu atas dakwaan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Ibadah dalam Islam telah diterangkan perinsip-perinsipnya, dikenali susur galur dan asasnya. Ibadah dalam Islam berupa ibadah badaniyyah yang berupa solat, puasa, zikir, haji umrah dan sebbagainya. Sementara ibadah dari jenis kedua ialah ibadah harta yang berbentuk zakat, derma, hadiah dan sebagainya. Adapun menahan diri dari memakan makanan tertentu dan mengadakan amalan-amalan yang tidak termasuk dalam ibadah dalam Islam bukanlah sesuatu yang mendekatkan diri kepada Allah. Bahkan ianya bertentangan dengan perinsip ketaatan kepada Allah.

Dalam satu dimensi yang lain, suruhan memakan makanan yang baik ini memberikan isyarat kepada umat Islam bahawa suruhan ini bukan sahaja bersifat hukum wajib tetapi suruhan dalam ertikata tuntutan kemanusiaan yang paling tinggi.

Kefahaman jenis ini membawa kepada kefahaman bahawa ajaran Islam mengajak manusia untuk menjadikan sumber kehidupan manusia adalah dari sumber yang tayyibat “baik”. Makan dan minum bukan sahaja sebagai penghilang lapar dan dahaga. Tetapi ia menjadi sumber kepada pembinaan ketinggian hidup manusia.

Setelah manusia mengalami kehidupan yang lama diatas muka bumi ini, semakin banyak ilmu yang manusia dapat kumpulkan berkaitan hukum alam yang mellibatkan pemakanan.

Makanan memberi kesan bukan sahaja kepada fizikal tetapi ia juga memberi kesan kepada sikap dan pemikiran manusia. Oleh itu jika difahami gesaan memakan makanan yang baik ini adalah umum bukan sekadar terhenti kepada perkara yang halal, maka dapat difahami bahawa Islam menggalakkan manusia mencari apakah yang terbaik untuk diri mereka dalam persoalan makanan dan pastinya dalam persoalan minuman juga.

Malangnya apabila umat Islam ketinggalan dalam kajian tentang ilmu-ilmu berkaitan kehidupan, maka umat Islam hanya memberikan tumpuan dalam persoalan pemakanan hanya kepada persoalan dosa dan pahala, sedangkan perkataan tayyibaat adalah mengisyaratkan kepada perkara yang baik.

Makanan yang baik berbeza terhadap seorang dengan seorang yang lain. Ada makanan yang baik kepada  orang lelaki dan ada yang baik untuk orang perempuan. Mungkin ada makanan yang baik untuk orang yang sihat tetapi tidak baik kepada orang yang sakit.

Ada pula makanan atau minuman yang baik kepada manusia mengikut umur yang berbeza samada bayi, kanak-kanak,orang dewasa atau orang tuan. Makanan juga menjadi baik berdasarkan persekitaran tempat tinggal seseorang samada dari sudut cuaca, geografi atau cara hidup mereka.

Bukti kepada tafsiran jenis ini ialah bagaimana al-Quran telah memberikan penumpuan khusus dalam membincangkan isu-isu berkaitan penyusuan terhadap bayi. Tujuan perhatian khusus itu diberikan demi menjamin para bayi mendapat makanan terbaik untuk mereka iaitu susu ibu.

Dengan itu dapat disimpulkan disini bahawa Islam mengajak kepada pembinaan tamadun manusia yang tinggi dan pembinaan itu bermula dari pada mewujudkan manusia yang kuat fizikal dan pemikirannya dan ini terbentuk melalui makanan yang baik. Sudah tentu tuntutan tahap ini bukan pada tahap fardu dari sudut individu tetapi ia mungkin menjadi kefarduan dari sudut tututan terhadap masyarakat.

*Umat Islam perlu meluaskan skop perbincangan isu pemakanan bukan hanya setakat isu asas halal-haram sahaja, bahkan turut memasukkan isu kualiti dan isu-isu keselamatan makanan.

Khamis
26 Muharram 1440
26 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *