*TADABBUR WAHYU SIRI 333*

*2.169.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 173*

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلاَ عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
173- Sesungguhnya Allah mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kini perbincangan ayat memasuki perincian hukum halal dan haram dalam makanan, setelah ia disebut secara umum sebelum ini. Jika diperhatikan, apa yang manarik ialah perbincangan dalam isu halal haram makanan telah menyaksikan larangan dalam memakan.

Dalam ertikata yang lain, ia disampaikan dalam bentuk larangan. Hasil dari kefahaman ulama terhadap teknik penyampaian ini serta beberapa ayat lain, para ulama menyimpulkan satu kaedah dalam syariah berkenaan persoalan halal haram.

Kaedah tersebut ialah “Hukum asal dalam perkara yang bukan ibadat adalah harus”. Jika menyebut makanan-makanan yang halal sudah tentu jenis makanan itu terlalu banyak kerana pada dasarnya makanan yang halal adalah lebih banyak daripada yang haram.

Oleh itu menyebut makanan yang haram adalah lebih mudah dan ringkas. Namun demikian jumhur ulama berpandangan bahawa ayat ini menyatakan asas halal dan haram sementara terdapat lagi benda-benda yang haram tetapi disebut dalam hadis sebagai penditilan.

Penulis tidak berhasrat memperincikan perbincangan berkaitan isu halal haram dalam makanan, sebaliknya perbincangan ini boleh dirujuk dalam buku-buku fekah.

Dalam ayat ini Allah menyebut beberapa jenis makanan yang haram secara spesifik iaitu bangkai, darah, daging babi dan sesuatu yang disembelih bukan kerana Allah.

Disebabkan ayat ini dinyatakan secara jelas dengan perkataan “harrama” bermaksud mengharamkan maka seluruh ulama sepakat mengatakan bahawa haram memakan empat makanan diatas.

Situasi kesepakatan ini dinamakan dalam istilah syarak dengan “ijmak ulama”. Situasi ijma’ ulama ini berlaku apabila dalil disampaikan dalam keadaan yang sangat jelas dan tidak ada sebarang kekaburan tentang makna yang mahu disampaikan.

Situasi ijma’ ulama ini tidak banyak berlaku dalam hukum hakam agama kerana sebahagain besar hukum hakam dalam Islam tidak disampaikan dalam dengan melalui dalil yang bersifar jelas atau dipanggil “dalil qatie”.

Tahap kejelasan dalam dalil “qatie” ialah tidak ada sebarang kekaburan dan kekeliruan tentang mesej yang mahu disampaikan.

Rangkap kedua dalam ayat ini pula menceritakan tentang hukum alternatif dalam hukum syarak. Hukum ini dipanggil “rukhsah” bermaksud keringanan.

Melalui ayat ini juga, dapat dilihat bahawa hukum syarak terdiri daripada dua jenis. Pertama hukum asal dalam sesuatu perkara. Dalam hal ini, hukum asal dalam memakan bangkai, darah, babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah adalah haram.

Kedua hukum alternatif atau “rukhsah”. Bilakah hukum asal yang haram itu bertukar kepada hukum alternatif dan menjadi halal?

Ayat ini menerangkan secara umum bahawa jika sesiapa yang berada dalam keadaan terpaksa maka makanan yang haram itu dibenarkan untuk mereka memakannya.

Disebabkan sifat terpaksa adalah sifat yang abstrak, maka para ulama membincangkan dengan panjang lebar dalam kitab-kitab fekah. Dalam ayat yang lain Allah menerangkan contoh orang yang dalam keadaan terpaksa memakan makanan yang haram itu dengan lafaz “makhmsah” yang bermaksud terlalu lapar.

Ini bermakna hukum keringanan sebagai alternative kepada hukum asal boleh diamalkan apabila seseorang itu dalam keadaan terpaksa dan salah satu keadaan terpaksa ialah apabila seseorang itu dalam keadaan terlalu lapar.

Jumaat
27 Muharram 1440
27 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *