*TADABBUR WAHYU SIRI 334*

*2.170.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 174*
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ الْكِتَابِ وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلاَّ النَّارَ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

174- Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Menurut Ibnu Asyur ayat ini kembali menyebut tentang perwatakan sebahagian ulama dari ahli kitab yang menyembunyikan kebenaran.

Dari sudut sebab nuzul, ayat ini bermaksud menerangkan bahawa ulama ahli kitab telah menyembunyikan kenabian nabi Muhammad saw. Sedangkan mereka mengetahui bahawa baginda adalah rasul utusan Allah.

Ibnu Asyur juga berpandangan bahawa para ulama ahli kitab menyembunyikan maklumat penting tentang kenabian ini kerana mereka mendapat habuan harta dari pihak yang berkepentingan, walaupun mereka terpaksa berbohong dan membiarkan masyarakat awam dalam kesesatan. Mereka sanggup berbuat demikian demi mendapat kepentingan dunia yang sedikit itu.

Kepentingan dunia dan bayaran yang didapati diistilahkan oleh Ibnu Asyur sebagai rasuah untuk menutup mulut para ulama tersebut. Bayaran dan habuan yang mereka dapati hasil daripada pembohongan itu dianggap sedikit oleh Allah, hal ini tidak bermakna ianya sedikit pada mata manusia. Ini kerana kekayaan dunia seluruhnya adalah sedikit disisi Allah jika dibandingkan dengan kesenangan dan nikmat diakhirat.

Perbuatan seperti ini menyebabkan seseorang terhalang dari mendapat nikmat diakhirat, maka sebanyak manapun yang mereka dapati daripada pembohongan itu maka ianya adalah sedikit disisi Allah.

Ayat ini juga menyifatkan orang yang mengambil keuntungan dari menyelewengkan agama dan membawa kesesatan kepada masyarakat sebagai orang yang memakan api neraka. (Semoga kita dilindungi Allah dari api neraka)

Ini kerana makan adalah sebahagian daripada keperluan manusia. Namun demikian seringkali ditemui didalam masyarakat orang yang takut untuk memakan makanan yang datang dari sumber yang haram tetapi tidak takut jika sekiranya harta haram itu dibelanjakan dalam perkara lain.

Oleh itu pernah didengari orang menerima rasuah lalu membelanjakannya untuk membaiki kenderaan dan membeli pakaian tetapi apabila mereka makan barulah mereka menggunakan sumber yang halal. Kekeliruan ini mungkin timbul kerana mereka menyangka perkataan memakan makanan yang haram itu bersifat literal.

Sedangkan apa yang jelas ialah seseorang yang melakukan perkara yang haram, maka ia akan berdosa tidak kira dengan cara memakan atau dengan cara-cara yang lain.

Dosa bukannya satu objek yang akan masuk ke dalam perut bersama makanan yang dimakan. Kerana dosa ialah sesuatu yang bersifat ghaib dan ditulis disisi Allah.

Oleh itu dapat difahami disini bahawa maksud memakan api neraka dalam ayat ini dinyatakan secara kiasan untuk menerangkan betapa seriusnya perbuatan yang mereka lakukan dan betapa pedihnya azab yang bakal menanti pelaku tersebut.

Apa yang menarik ketika memerhatikan ayat ini dan membandingkannya dengan ayat sebelumnya ialah ayat ini menerangkan tentang keharaman memakan dari sumber yang haram. Walaupun mungkin apa yang dimakan adalah baik dari sudut zatnya.

Seorang yang memakan makanan halal tetap berdosa jika sekiranya makanan itu dari sumber yang haram.

Adapun ayat sebelum ini mengharamkan makanan yang haram secara hissi. Bangkai,darah, babi dan sembelihan yang disembelih bukan kerana Allah adalah merupakan makanan yang kotor dan haram dari sudut “ain” atau fizikalnya itu sendiri adalah haram.

Sabtu
28 Muharram 1440
28 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *