*TADABBUR WAHYU SIRI 335*

*2.170.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 174-175*

174- Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan keterangan yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia’ yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Dia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Dalam ayat ini dijelaskan beberapa akibat yang menanti mereka yang menyembunyikan kebenaran iaitu mereka akan memakan api neraka, mereka tidak akan dilayan oleh Allah, mereka tidak akan dipuji oleh Allah dan mereka akan mendapat azab yang pedih.

Memakan api neraka menggambarkan azab yang pedih tetapi dijelaskan secara spesifik, sementara maksud tidak akan dilayan oleh Allah bermakna mereka tidak akan diberikan perhatian. Ini kerana dalam situasi kesakitan dan kepayahan, perhatian yang diberikan kepada seseorang adalah nikmat yang sungguh besar, apatah lagi jika perhatian itu diberikan oleh tuhan yang berkuasa menolong dan membantu manusia.

Keengganan untuk memberi perhatian adalah sejenis azab Allah yang sangat pedih untuk ditanggung oleh manusia, masakan tidak sedangkan di dunia ini Allah sedia mendengar setiap rintihan manusia dan tuhan memakbulkan setiap doa dan permintaan hambanya.

Mereka juga tidak akan dibersihkan daripada dosa kerana orang-orang yang kufur tidak lagi berpeluang mendapat rahmat Allah.

Menurut Ibnu Asyur perkataan “wala yuzakkihim” juga bermaksud Allah tidak akan memuji mereka kerana orang yang mendapat pujian Allah di akhirat sudah tentu akan terlepas dari azab kerana Allah tidak akan memuji kecuali orang-orang yang layak sahaja.

Maka mereka yang tidak dipuji berada dalam kehinaan dan kesengsaraan. Dan akhir sekali disebut bahawa untuk mereka itu azab yang pedih. Keadaan azab ini disebut secara umum kerana pada awal ayat ini telah disebutkan secara terperinci jenis-jenis azab yang dilalui oleh mereka yang memilih untuk senyap dan menyembunyikan kebenaran ketika orang lain sedang mengharapkan ilmu mereka untuk mengelakkan diri dari terjerumus dalam kesesatan.

أُوْلَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُاْ الضَّلالَةَ بِالْهُدَى وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ

175- Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka alangkah sabarnya mereka menanggung seksa api neraka itu.

Mereka ibarat orang yang memiliki satu barang berharga dan barang tersebut ialah petunjuk, namun mereka tidak berminat untuk memiliki barang itu lalu mereka telah menukarkannya dengan mengambil barang yang lain.

Tukaran yang mereka ingini itu adalah kesesatan. Mereka juga diibaratkan seperti orang yang memiliki pengampunan. Ini kerana berada dalam petunjuk bererti seseorang itu akan mendapat keampunan Allah.

Sayangnya ada orang yang tidak berminat dengan pengampunan, lalu mereka menukarkannya dengan azab dan sangsara.

Perniagaan adalah pertukaran antara dua barang berharga. Namun demikian kali ini orang-orang yang mengetahui hakikat kebenaran sememangnya memiliki sesuatu yang sangat berharga kerana kebenaran mewariskan mereka kebahagiaan yang abadi.

Dalam masa yang sama kesesatan membawa kepada kesengsaraan yang berkekalan, alangkah ruginya mereka yang bertindak menukarkan kebenaran kepada kesesatan.

Jika peniaga biasanya mencari keuntungan dengan menukarkan suatu yang berharga dengan benda yang lebih berharga, maka kali iini mereka pula telah menukarkan perkara yang sangat berharga dengan perkara yang tidak berharga langsung malah membawa kerugian dan kemudaratan.

Rangkap terakhir dalam ayat ini telah menyebut “alangkah sabarnya mereka menanggung seksa api neraka itu. Gaya bahasa seperti ini bukannya merujuk kepada rasa takjub dengan kesabaran dan kecekalan ahli neraka, akan tetapi merujuk kepada makna mengejek dan merendah-rendahkan mereka.

Ini kerana mereka sebenarnya tidak dapat berbuat apa-apa. Sama sahaja pada mereka samaada mereka bersabar atau mereka merungut dan membantah, mereka tidak dapat lagi melepasi azab neraka, alangkah ruginya keadaan tersebut.

**semoga kita terhindar dari menjadi orang yang rugi kerana melepaskan  peluang yang diberikan, seperti sabda nabi bermaksud rebutlah lima peluang sebelum tibanya lima keadaan…

Ahad
29 Muharram 1440
29 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *