*TADABBUR WAHYU SIRI 336*

*2.171.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 176*

ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ نَزَّلَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِي الْكِتَابِ لَفِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ.
Yang demikian itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai kitab, sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh.

Azab neraka, serta balasan buruk yang telah disebutkan sebelum ini dikenakan kepada mereka yang menyembunyikan kebenaran. Mereka yang membiarkan masyarakat berada dalam kesesatan. Semata-mata kerana mereka mengejar habuan dunia yang sedikit. Sedangkan Allah telah menurunkan kitabnya dengan membawa kebenaran, tidak terkandung didalamnya sebarang kepincangan serta kecacatan.

Maksud berselisih mengenai kitab yang disebut di atas sebagai “ikhtalafu filkitab” menurut Syeikh Rashed Redha adalah bermaksud mereka yang membelakangi kitab Allah.

Mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dari apa yang dikehendaki oleh Allah. Dan bukannya berselisih dalam memahami kitab Allah.

Perlu diingatkan juga bahawa ayat ini tidak boleh dijadikan hujah untuk melabelkan sesat kepada orang yang tidak menerima pandangan dan ijtihad seseorang ulama. Walaupun ulama itu berhujah berdasarkan Al-Quran atau hadis.

Ini kerana umat Islam berbeza pendapat dalam memahami kitab Al-Quran dan hadis. Umat Islam juga berbeza memahami sesuatu realiti dan keadaan. Lalu perselisihan itu membawa kepada perbezaan dalam menentukan situasi, keutamaan dan perkara perkara ijtihad yang lain.

Rashed Redha juga mengingatkan pembaca kitab beliau agar tidak terkeliru dengan mereka yang menganggap haram meninggalkan pendapat seseorang ulama atas dakwaan perbuatan tersebut menghina ulama.

Rashed Redha menjelaskan bahawa dakwaan itu tidak berasas sama sekali. Menurut beliau jika berlaku kesilapan pandangan dari seseorang sarjana, maka meninggalkan pandangan tersebut untuk pergi kepada pandangan yang lebih tepat adalah satu pengiktirafan kepada sarjana itu.

Perlu diingatkan juga bahawa berkemungkinan hujah seseorang ulama walaupun menggunakan ayat Al-Quran tetapi ditolak oleh ulama yang lain bukan kerana salah nya ayat Al-Quran, tetapi ia mungkin berpunca daripada kelemahan orang yang menganalisis nas-nas tersebut.

Isnin
1 Safar 1440
30 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *