*TADABBUR WAHYU SIRI 379*

*2.173.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 178*
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالأُنثَى بِالأُنثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاء إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ..

178- Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” dalam pembunuhan: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya, maka hendaklah orang yang mengampunkan itu mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya.

Ayat ini dimulakan dengan seruan kepada orang beriman, ini kerana ayat ini membincagkan persoalan amali yang diwajibkan oleh Allah.

Kali ini ia bersangkutan dengan hukuman terhadap jenayah. Qisas ialah hukuman balas, dan disebut disini hukuman balas bagi pembunuh.

Mengikut Syeikh Ibnu Asyur, orang-orang Arab jahiliah telah keterlaluan dalam berbunuh-bunuhan sehingga Allah menyifatkan mereka sedang berada ditepi neraka. Iaitu diambang kemusnahan yang total akibat peperangan dan balas dendam yang tidak berkesudahan.

Apabila berlaku pembunuhan dikalangan mereka, maka waris mangsa akan membunuh pembunuh dan keluarga mereka, seringkali pula seluruh kabilah diserang dan dimusnahkan.

Kadang-kadang mereka memilih beberapa orang dari kabilah atau keluarga penjenayah untuk dibunuh bersamanya.

Keadaan orang-orang Yahudi dan Kristian juga tidak jauh bezanya, mereka menjadikan hukuman mati sebagai hukuman mandatori dimana tidak ada ruang lagi untuk mangsa melepaskan diri daripada hukuman mati itu.

Syeikh Rasyed Redha pula menerangkan bahawa syariat Islam telah datang menunjukkan sifat wasatiyah atau keseimbangan dan kesederhanaannya. Syariat Islam menghukum hanya pesalah sahaja dan tidak melibatkan sesiapa pun dikalangan keluarga yang tidak bersubahat dalam pembunuhan.

Pun begitu, Islam tidak seperti adat orang-orang Arab, Yahudi dan Kristian yang menghukum bunuh penjenayah tanpa pilihan. Dalam Islam, jika sekiranya waris mangsa memaafkan penjenayah, maka hukuman itu boleh dikurangkan daripada hukuman mati kepada hukuman lain.

Waris juga berhak memilih samada memaafkan sahaja atau memaafkan pesalah dengan syarat menerima pampasan yang dipanggil diat. Sebaik sahaja waris sedia memaafkan pesalah dengan salah satu daripada cara diatas maka pihak berkuasa tidak berhak menjatuhkan hukuman bunuh kepada pesalah.

Hukuman jenis ini memberi ruang kepada pesalah untuk dikecualikan daripada hukuman mati. Apa yang buruk daripada amalan undang-undang yang diambil daripada barat moden ialah pesalah boleh dikecualikan dari hukuman mati tetapi bukan pengampunan itu datang daripada waris tetapi datang dari pemerintah tertinggi negara.

Hal ini menyebabkan kemarahan waris kepada pesalah tidak terpadam, terbukanya pintu kefasadan orang-orang kenamaan dan berkedudukan akan lebih mudah mendapat pengampunan disebabkan hubungan mereka.

Dalam masa yang sama, orang-orang yang tidak berkedudukan sudah tentu lebih sukar untuk berbuat demikian, ruang untuk berlakunya rasuah dan salah guna kedudukan juga mudah berlaku.

Mengikut Rasyed Redha lagi, hukum Islam dalam hal ini lebih sederhana dan berada pada kedudukan pertengahan antara pengamalan yang telah disebut diatas dengan pihak yang menyeru kepada dihapuskan hukukman mati.

Beliau menyatakan bahawa menghapuskan hukuman  mati adalah seruan yang telah memaksa seluruh masyarakat dunia untuk tunduk kepada situasi setempat dan sementara yang berlaku di Eropah.

Ini kerana mereka telah melalui system pendidikan yang lebih baik dan mengurangkan kadar jenayah dengan meningkatkan ekonomi serta inisiatif lain.

Jika keadaan ini berjaya diwujudkan disesetengah negara maka ianya tidak semestinya berlaku di negara-negara yang lalin. Oleh itu hukum Islam yang menerima hukuman mati dan memberi ruang kepada waris untuk memaafkan penjenayah adalah hukum yang sangat baik dan lembut sebenarnya.

Khamis
4 Safar 1440
3 Oktober 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *