*TADABBUR WAHYU SIRI 380*

*2.173.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 178-179*

178- Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” dalam pembunuhan: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya, maka hendaklah orang yang mengampunkan itu mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya.

Ayat ini walaupun mengandungi suruhan yang bersifat jelas iaitu mewajibkan hukuman bunuh balas keatas pembunuh, tetapi unsur kekaburan juga wujud dalam ayat ini.
Antara unsur kekaburan atau kesamaran yang ada ialah pembunuh boleh dibahagikan kepada dua jenis, pertama yang membunuh dengan sengaja dan ada pula yang tidak sengaja. Pembunuh yang bagaimana dijatuhkan hukuman bunuh?

Satu lagi unsur kekaburan dalam ayat ini ialah apabila ayat ini mengatakan “orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan”.

Apakah ayat ini bersifat suruhan atau ia satu penyataan. Jika ia bersifat suruhan maka hanya orang merdeka yang membunuh orang merdeka sahaja yang dihukum, begitu juga hamba yang membunuh hamba dan perempuan yang membunuh perempuan yang dihukum.

Sedangkan, jika ia berifat pernyataan maka ia menceritakan situasi yang biasa berlaku tetapi dari sudut hukum, seorang yang membunuh siapa sahaja mestilah dijatuhkan hukuman bunuh.

Perlu juga diingatkan bahawa hukuman bunuh adalah suruhan yang melibatkan kuasa dan tidak bersifat individu. Oleh itu seseorang individu tidak boleh menjatuhkan sendiri hukuman ini walaupun ia pada zahirnya ia disuruh dalam bentuk yang umum.

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَاْ أُولِيْ الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
179- Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

Setelah dijelaskan beberapa hukum berkaitan perlaksanaan Qisas, kini dijelaskan pula maqasid atau objektif kepada suruhan melaksanakan hukum Qisas.

Al-Quran menjelaskan bahawa perlaksanaan Qisas membawa kehidupan kepada manusia. Ini kerana dari sudut zahirnya perlaksanaan hukuman ini akan menghilangkan nyawa dan mematikan penjenayah yang dihukum.

Namun demikian jika diperhatikan dengan lebih jelas hukuman yang keras akan menyebabkan mereka yang tidak prihatin dengan nyawa orang lain akan berhati-hati untuk melakukan sebarang aktiviti yang mengancam nyawa dan boleh membawa kematian.

Keadaan ini menyebabkan nyawa manusia akan terjaga dan masyarakat boleh hidup dengan aman. Dari sudut Maqasid ammah, ayat ini membuktikan bahawa Islam adalah agama yang sentiasa berusaha membawa keamanan dan ketenteraman kepada masyarakat.

Jumaat
5 Safar 1440
4 Oktober 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *