*TADABBUR WAHYU SIRI 381*

*2.174.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 180*
كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِن تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ.

180- Telah diwajibkan keatas kamu apabila kematian menghampiri seseorang daripada kamu, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.

Jika ayat sebelum ini membincangkan persoalan nyawa, maka ayat ini membincangkan pula persoalan harta dimana kedua-dua perkara ini merupakan asas penting dalam kehidupan manusia. Cara persembahan ayat menggunakan isu yang kelihatan seakan-akan sama iaitu berkaitan dengan kematian. Namun demikian ia adalah tuntutan yang agak berbeza. Sebelum ini isu yang dibincangkan melibatkan persoalan undang-undang jenayah dan kini ia melibatkan pentadbiran kewangan dan harta.

Sudah tentu sentuhan ayat ini tidak merangkumi segala perincian dalam persoalan jenayah dan harta tetapi menjadi satu isyarat bahawa Islam memberi penekanan kepada kehidupan bermasyarakat yang harmoni dan tersusun.

Hal ini memberi mesej jelas bahawa umat Islam tidak boleh menekankan persoalan individu semata-mata atau Islam adalah agama yang bukan menekankan persoalan ibadat kerohanian sahaja tetapi juga menjaga persoalan kehidupan dan kemasyarakatan.

Ayat ini disampaikan dalam bentuk yanag sangat menarik bersesuaian dengan persoalan harta yang sememangnya topik yang sentiasa menarik untuk dibincangkan.

Ayat ini telah mengumpamakan kematian menyerupai sesuatu yang hidup lalu menyatakan bahawa apabila kematian menghampiri seseorang , sedangkan dari sudut hakikatnya ialah kematian itu berlaku apabila keluarnya roh dari jasad.

Dalam masa yang sama, ayat ini menyuruh dilakukan wasiat ketika kematian datang kepada seseorang, sedangkan manusia sudah tidak dapat memberi wasiat apabila kematian telah hadir.

Oleh itu ayat ini perlu difahami bahawa berilah wasiat sebelum mati, atau ketika tanda-tanda kematian telah ada seperti adanya penyakit, umur yang panjang dan sebagainya.

Dari sudut kedudukan dalam syariat, ayat ini menyuruh diberikan wasiat kepada kedua ibu bapa dan sanak saudara. Hal ini kelihatan bertentangan dengan ayat pembahagian pusaka.

Sebahgian ulama berpandangan ayat ini telah dimansuhkan dengan ayat al-Quran yang menyuruh diberikan harta pusaka dalam surah al-Nisa’. Mereka berpandangan demikian kerana mereka berpendapat ayat ini turun terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah wasiat yang telah sedia diamalkan semenjak zaman jahiliah lagi.

Penurunan ayat ini bagi mereka adalah bukti kepada pensyariatan hukum-hakam yang dilakukan oleh Allah secara beransur-ansur. Ini kerana di zaman jahiliah pemilik harta memberikan wasiat sesuka hati mereka dan kerap kali ada dikalangan sanak saudara yang dinafikan hak mereka. Kaum wanita juga tidak diberikan langsung harta yang ditinggalkan oleh simati.

Oleh itu para ulama ini berpandangan bahawa ayat ini mendidik diawal Islam agar wasiat diberikan dengan cara yang baik dan tidak menimbulkan pertikaian dan kezaliman.

Setelah keadaan ini berlangsung beberapa lama maka ayat yang mensyariatkan pusaka pula diturunkan dan dengan itu hukum yang disebut dalam ayat ini telah tidak diamalkan lagi. Keadaan ini dipanggil mansukh. Ibnu Asyur setuju dengan pandangan ini dan menyebut bahawa ia adalah pandangan jumhur ulama.

Sebahagian ulama pula tidak bersetuju dengan pandangan diatas, mereka menyatakan bahawa ayat al-Quran tidak dimansukhkan dan hukumnya tetap berlaku. Antara hujah mereka ialah ayat ini dimulakan dengan satu penegasan yang kuat iaitu dalam gaya “kutiba alaikum” bermaksud diwajibkan keatas kamu. Jika ia dimansukhkan maka ia bertentangan dengan penegasan yang telah diberikan. Selain itu ayat ini ditegaskan lagi dengan kata “haqqan alal muttaqin” bermaksud satu hak atau kewajipan bagi orang yang bertaqwa. Ini adalah penegasan yang tidak boleh dianggap dimansukhkan hanya kerana ada ayat lain yang menyebut tentang hukum ini.

Bagi mereka, ayat ini dan ayat surah al-nisa’ yang membincangkan tentang pusaka perlu diharmonikan. Dengan itu ada dikalangan mereka menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan kepada galakan dan berbagai pandangan yang boleh dirujuk dalam kitab fekah. Syeikh Rasyed Redha dalam tafsir al-Manar menyokong pandangan ini. Adapun di Malaysia pandangan pertama diguna pakai dalam pentadbiran harta Islam.

Sabtu
6 Safar 1440
5 Oktober 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

4 thoughts on “*TADABBUR WAHYU SIRI 381*”

  1. Avatar

    Asalamualaikum Ustaz,
    Rasanya Tadabbur Wahyu Siri 379 sepatutnya Siri 339. Harap Ustaz dapat semak semula kerana saya rasa ada kesilapan teknikal bermula dari Tadabbur Siri 378 yang srpatutnya Siri 338.

    Wassalam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *