*TADABBUR WAHYU SIRI 384*

*2.177.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 184*
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ.

184-(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

Ayat ini menerangkan dua asas penting berkaitan puasa, pertama puasa yang diwajibkan adalah dalam hari-hari tertentu sahaja iaitu puasa dalam bulan Ramadan.

Asas kedua ialah keringanan dalam ibadah, jika seseorang berdepan dengan kesukaran. Keringanan ini sebenarnya bukan diberikan untuk ibadat puasa sahaja, akan tetapi keringanan adalah sesuatu yang disyariatkan dalam seluruh tuntutan dalam agama Islam.

Setiap keringanan itu perlu dipelajari secara lebih lanjut kerana masing-masing mempunyai perincian yang sesui dengan tabiat sesuatu ibadat secara khusus.

Contohnya keringanan dalam puasa adalah dengan dibolehkan seseorang itu berbuka dan menggantikan pada hari yang lain. Adapun keringanan dalam mengambil air sembahyang pula dibenarkan seseorang itu bertayammum menggantikan wuduk untuk menunaikan solat. Keringanan dalam solat berkaitan meninggalkan bacaan bagi mereka yang langsung tidak pandai dan baru memeluk Islam dan lain-lain.

Keringanan dalam seluruh tuntutan agama adalah pensyariatan yang berada dalam peringkat hajiyyat mengikut Imam al-Syatibi. Beliau berpandangan bahawa jika keringanan tidak diberikan kepada manusia nescaya akan berlaku kesusahan dan kepayahan dalam mengamalkan suruhan agama. Kesusahan sedemikian jika dibiarkan dalam masa yang lama akan membawa kepada manusia meninggalkan ajaran agama kerana manusia akan lari dari sesuatu yang menyusahkan diri mereka.

Ayat ini menjelaskan bahawa hikum keringanan bagi mereka yanag berdepan dengan situasi susah samada kerana musafir atau sakit, maka mereka boleh menggantikan puasa yang diwajibkan itu kepada hari yang lain diluar daripada bulan Ramadan.

Adapun ayat وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ayat ini mempunyai maksud yang kabur, ini kerana ia boleh bermaksud “dan kepada mereka yang tidak mampu maka hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan kepada seorang miskin”. Namun demikian ayat ini boleh juga bermaksud “dan kepada mereka yang mampu, maka hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan seorang miskin”.

Jika diperhatikan ayat ini mengandungi maksud yanag berlawanan, ini kerana perkataan “yutiqun” dalam bahasa arab bermaksud tidak mampu dan dalam masa yang sama bermaksud mampu.

Bagi ulama yang mentafsirkan perkataan yutiqun dengan makna tidak  mampu maka mereka mengatakan bahawa ayat ini menceritakan hukum bagi mereka yang tidak mampu seperti orang tua maka mereka boleh berbuka tetapi perlu memberi makan orang miskin.

Bagi ulama yang memahami perkataan yutiqun dengan maksud orang yang mampu, mereka mengatakan bahawa ayat ini menceritakan keadaan diawal Islam dimana puasa Ramadan disuruh dalam bentuk galakan sahaja sementara orang yang tidak mahu berpuasa sedangkan mereka mampu maka mereka hendaklah memberi makan sorang miskin pada setiap hari. Ulama ini berpandangan hukum ini dimansuhkan apabila Allah menyuruh umat Islam supaya berpuasa  apabila melihat anak bulan Ramadan.

Selasa
9 Safar 1440
8 Oktober 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *