*TADABBUR WAHYU SIRI 386*

*2.178.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 185*

185-Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan bulan, maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka gantikan pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa, dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Ayat ini sengaja diterjemah secara literal untuk memberitahu kepada pembaca bahawa maksud anak bulan dalam ayat diatas adalah disebut secara kabur oleh Allah. Ini kerana setelah berlaku perkembangan, cara mengetahui masuk bulan Ramadhan telah berkembang kepada hisab. Dizaman moden ini pula melihat pergerakan bulan diketahui dengan menggunakan setelit dan peralatan canggih yang mengesan pergerakan bulan secara sangat tepat berbanding melihat dari bumi semata-mata. Bulan masih menjadi ukuran tetapi cara mengesan pergerakan bulan telah berevolusi.

Perkara keempat disebut dalam ayat ini ialah berkaitan orang yang tidak mampu untuk menunaikan puasa dalam masa yang ditetapkan. Maklumat ini sebenarnya telah disebut dalam ayat yang lepas tetapi diulang sekali lagi disini. Ibnu Asyur berpandangan pengulangan ini bukan sekadar menegaskan hukum keringanan bagi mereka yang berada dalam kesusahan tetapi sebaliknya ada objektif lain yang mahu disampaikan.

Hukum keringanan diulang sekali lagi disini bagi menerangkan bahawa ia tidak dimansuhkan, hal ini penting untuk dijelaskan kerana ayat berkaitan keringanan dijelaskan dalam ayat sebelum ini dalam bentuk menjelaskan hukum yang telah dimansuhkan iaitu umat Islam diawal Islam diberikan keringanan samada untuk berpuasa atau memberi makan orang miskin.

Hukum itu dimasuhkan dengan ayat 185 ini tetapi hukum keringanan bagi mereka yang berdepan dengan kesusahan adalah dikekalkan.

Para ulama fekah telah memperincikan dalam ijtihad mereka dalam mendifinisikan apakah yang dimaksudkan dengan musafir kerana tidak ada dalil yang jelas menerangkan difinisi musafir.

Dengan itu mereka berbeza pandangan berkenaan dengan takrif musafir. Mereka juga berbeza dalam menentukan kadar sakit yang membolehkan orang yang wajib berpuasa untuk berbuka apabila mengalami sakit.

Selain itu ulama fekah juga cuba berijtihad dalam memberi pandangan berkaitan situasi orang yang mengalami kesusahan tetapi mereka bukan dalam keadaan musafir dan bukan juga sakit. Seperti orang yang berada dalam tugas penting dan kritikal juga orang yang berada dalam ketakutan.

Pandangan terhadap isu-isu ini boleh dirujuk dalam kitab-kitab fekah secara lebih terperinci. Adapun al-Quran memberikan garis panduan umum dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Isu kelima yang dibincangkan dalam ayat ini ialah sebuah perinsip umum dan dasar dalam Islam iaitu Allah mahu memudahkan manusia dan Allah tidak mahu menyusahkan manusia. Melalui rangkap ini dapat difahami bahawa penurunan syariat Islam bukan kerana Allah mahu menyusahkan manusia tetapi Allah mahu mencapai maqasid dan objektif tertentu dalam setiap pensyariatan.

Garis panduan hidup dan ajaran yag diturunkan itu  mengandungi pengajaran dan hikmah yang diperlukan oleh manusia dalam menempuh kehidupan didunia dan mencapai kebaikan diakhirat. Ia buka sekadar syariat yang mahu memayahkan manusia.

Ibnu Asyur menjelaskan bahawa rangkap ini merupakan ta’lil atau pemberitahuan tentang alasan atau sebab mengapa Allah telah mensyariatkan hukum-hakam yang telah disebut sebentar tadi. Berpuasa dibulan Ramadan bukanlah syarat yang bertujuan memayahkan manusia dan keringanan bagi orang yang berdepan dengan kesusahan adalah bukti rahmat Allah kepada manusia.

Dengan kefahaman ini, para ulama telah memahami bahawa syariat Islam tidak mengandungi sesuatu yang mustahil untuk diamalkan. Tidak ada taklif yang keterlaluan beratnya sehingga manusia tidak mampu melakukannya. Dengan itu boleh disifatkan syariat islam sebagai mudah. Dalam pensyariatan Islam yang mudah itu, sering berlaku pula keadaan khas dimana orang-orang tertentu berdepan dengan kesukaran sehingga amalan yang mudah itu menjadi payah buat mereka. Pada ketika itu sekali lagi Islam memberikan hukum pengecualian atau alternativ bagi mereka dan diberikan keringanan dengan mereka boleh melakukan ibadat teresebut sesuai dengan keadaan yang mereka alami. Itulah yag dinamakan dengan hukum-hukum keringanan atau rukhsah dalam Islam.

Khamis
11 Safar 1440
10 Oktober 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *