*TADABBUR WAHYU SIRI 385*

*2.178.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 185*
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.

185-Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan bulan, maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa, dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Ayat ini mengandungi beberapa topik yang memerlukan perbincangan yang lebih terperinci. Rangkap pertama ayat ini menerangkan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Kenyataan ini agak mengelirukan, kerana realitinya al-Quran diturunkan disepanjang tahun berdasarkan keadaan dan peristiwa yang berlaku tidak kira pada bulan mana.

Fenomena ini mendorong ulama untuk membuat kajian lanjut tentang makna sebenar al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Imam al-Sayuti menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan ialah penurunannya diperingkat awal.

Iaitu al-Quran diturunkan pada peringkat pertama pada bulan Ramadan. Penurunan ini adalah dari luh mahfuz kelangit dunia, dalam peringkat ini, al-Quran diturunkan kesemuanya.

Dari langit dunia barulah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah saw berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku disepanjang dakwah Baginda saw.

Mengambil sempena dalam membincangkan berkenaan al-Quran, dijelaskan juga bahawa al-Quran adalah pembawa hidayah dan keterangan, ia membawa maklumat yang mampu menjadi petunjuk kepada manusia dalam membezakan antara kebenaran dengan kebatilan.

Isu ketiga yang disebut dalam ayat ini ialah berkaitan berpuasa di bulan Ramadan. Pada permulaan dibincangkan berkenaan melihat anak bulan. Apa yang menarik ialah al-Quran tidak menyebut secara jelas perkataan melihat anak bulan.

Sebaliknya al-Quran menyebut sesiapa yang melihat “syahr” perkataan ini dalam Bahasa arab bukan bermaksud anak bulan bahkan bukan juga bermaksud bulan secara fizikal. Syahr dalam bahasa Arab bermaksud bulan iaitu bulan Ramadan, Syawal dan lain-lain. Gaya bahasa seperti ini menggambarkan bahawa tujuan sebenar melihat anak bulan adalah untuk mengetahui masuknya bulan. Oleh itu suruhan melihat anak bulan bukanlah objektif yang bersifat ibadat, sebaliknya  ibadat yang dituntut adalah berpuasa apabila masuknya bulan Ramadan.

Rabu
10 Safar 1440
9 Oktober 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *