*TADABBUR WAHYU SIRI 406*

*2.191.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 203*

وَاذْكُرُواْ اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ فَمَن تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلاَ إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ لِمَنِ اتَّقَى وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

203-Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.

Ayat ini menyuruh secara umum agar disebut nama Allah pada hari tertentu, sedangkan maksud sebenar yang dikehendaki ialah bertakbir  semasa mengerjakan ibadat haji.

Yang dimaksudkan dengan hari-hari yang tertentu disini ialah hari raya haji dan dari tashriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Pada hari-hari tersebut kaum muslimin mengerjakan ibadat haji setelah mereka bermalam di Arafah. Bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadat haji, berpuasa pada hari Arafah adalah dituntut. Bahkan hadis nabi bermaksud: Puasa pada hari Arafah mengampunkan dosa pada tahun sebelum dan tahun selepasnya. (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Mereka yang mengerjakan haji tidak dituntut untuk berpuasa pada hari Arafah. Kaum Muslimin yang mengerjakan haji seterusnya akan menyembelih korban setelah mereka bergerak ke Mina dan seterusnya mereka dituntut untuk melakukan ibadat melontar pada jamrah.

Dalam ayat ini disebut dengan jelas bahawa Allah memberi kelonggaran untuk menyiapkan ibadat melontar pada jamrah ini dalam masa dua hari yang terawal atau dua hari yang terkemudian.

Ini adalah keringanan yang diberikan sedangkan tuntutan biasa untuk melontar pada jamrah ialah dalam masa 3 hari.

Selepas tuntutan ini disempunakan, para jemaah haji akan menuju ke Mekah untuk melakukan tawaaf wada’. Adapun perbincangan lebih terperinci berkaitan masa afdal untuk melontar boleh dirujuk kepada kitab-kitab fekah.

Dalam ayat ini diisyaratkan bahawa seruan ini ditujukan kepada mereka yang bertaqwa, ini kerana mereka yang bertaqwa akan prihatin dengan garis panduan yang diberikan oleh Allah dalam ibadat haji.

Ibadat haji melatih mukmin supaya taat kepada peraturan dan sedia mentaati Allah, disamping mereka mengikut ibadat yang ditinggalkan oleh nabi Ibrahim.

Selepas mengajak kaum muslimin supaya bertaqwa kepada Allah, ayat ini mengakhiri perbincangan dengan mengingatkan bahawa manusia semuanya akan dibangkitkan dan dikumpulkan dihadapan Allah di hari akhirat nanti.

Peringatan ini adalah sangat sesuai dengan situasi dimana pembaca masih lagi berada dalam suasana menghayati ibadat haji yang merupakan ibadat yang dilakukan secara beramai-ramai.

Sepanjang ibadat haji, kaum muslimin menyaksikan kehadiran ramai manusia dari segenap pelusuk dunia dan berbagai jenis dan adat. Kesesakan tempat-tempat yang dikunjungi semasa menunaikan ibadat haji mengingatkan kita kepada betapa keadaan hari manusia dibangitkan dihari akhirat nanti sangat mencabar lebih dari apa yang dihadapi di dunia ini.

Rabu
2 Rabiulawal 1440
30 Oktober 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *