*TADABBUR WAHYU SIRI 407*

*2.192.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 204*

وَمِنَ النَّاسِ مَن يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ

204-Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya dalam hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

Ayat ini menjelaskan salah satu daripada jenis manusia yang ada dalam dunia ini. Maklumat tentang manusia dan sifat mereka ini disampaikan setelah dijelaskan perincian tentang ibadat haji.

Dapat digambarkan bertapa topik kemanusiaan ini menjadi pesanan tuhan kepada manusia yang akan kembali kepada masyarakat masing-masing. Disana mereka akan bertemu dengan manusia, akan berhubung dengan masyarakat, maka pesanan ini adalah satu bekalan pulang yang cukup berharga buat mereka.

Ibadat haji adalah penyucian terhadap jiwa manusia dan penyucian jiwa hanya akan berkesan apabila manusia mampu mengubah tingkahlaku mereka. Ini kerana Islam bukannya agama teori atau falsafah semata-mata, akan tetapi Islam adalam iman dan amal.

Oleh itu perkhabaran ini perlu diberikan penekanan oleh setiap muslim agar mereka kembali kedalam masyarakat mereka dalam keadaan yang bersih jiwa dan tingkah laku mereka.

Sebelum ini, telah dijelaskan sifat orang yang menampakkan kekufuran dan keingkaran mereka. Ayat terdahulu telah menyifatkan sifat cinta dunia itu dengan doa meminta nikmat dunia sahaja. Sebenarnya ayat terdahulu mahu menjelaskan bahawa ada manusia yang tidak mahukan akhirat, yang mereka mahu hanya habuan dunia. Apa yang menariknya mereka menjelaskan keadaan diri mereka itu.

Tetapi kini, dijelaskan pula sikap sebahagian manusia yang menunjukkan akhlak yang mulia kepada orang lain sehingga orang yang melihat amalan mereka akan teruja dan tertipu dengan hakikat diri yang jauh terpisah dari kebenaran.

Allah menyedarkan orang-orang yang beriman tentang kewujudan manusia seperti ini dan dalam masa yang sama diberikan peringatan agar orang yang beriman tidak berakhlak dengan akhlak sedemikian.

Menebalnya ciri kemunafikan itu digambarkan dalam keadaan mereka sanggup bersumpah dengan nama Allah tetapi sumpah itu hanyalah mainan dan penipuan semata-mata.

Sememangnya manusia jenis ini sering ditemui dalam masyarakat dan ia akan tetap wujud di sepanjang zaman.

Semoga Allah memelihara kita daripada memiliki sifat keji seperti ini kerana ianya adalah satu kerugian yang tidak ada bandingnya.

Ia menjadi satu kehinaan dihadapan manusia dan di hari akhirat akan menerima balasan yang buruk diatas apa yang dilakukan.

Khamis
3 Rabiulawal 1440
31 Oktober 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *