*TADABBUR WAHYU SIRI 408*

*2.193.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 205*

وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لاَ يُحِبُّ الْفَسَادَ.
205- Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

Orang yang menunjukkan tingkah laku yang baik, sehingga mereka sanggup bersumpah dengan nama Allah, sedangkan dia adalah musuh, apabila mereka mempunyai peluang mereka telah bertindak melakukan kerosakan.

Melalui ayat di atas dapat difahami maksud kejahatan yang dilakukan oleh orang yang digambarkan ini sangat teruk. Ini kerana dia digambarkan melakukan kerosakan, iaitu bukan sekadar maksiat yang dihubungkan dengan kesalahan dengan Allah. Tapi sebaliknya melakukan kemusnahan.

Kemusnahan yang digambarkan ialah dalam bentuk “yufsidul hartha wannasla” dari sudut terjemahan secara literal, ayat ini bermaksud mereka memusnahkan tanaman dan keturunan.

Namun dari sudut maksud sebenarnya ialah mereka “memusnahkan segala perkara”. Gabungan perkataan “yuhlikul hartha wannasla”  tidak boleh diterjemah secara litaral dan sukar difahami dengan maksud demikian.

Sama sahaja dalam bahasa Melayu, seorang yang baru belajar bahasa Melayu mungkin bertanya apa maksudnya perkataan “berhempas pulas”.

Maksudnya berhempas pulas bukan bermakna hempas sesuatu dan kemudian memulasnya. Tapi maksud yang dikehendaki ialah “bersungguh-sungguh”. Oleh terjemahan perkataan diatas ialah mereka memusnahkan segala perkara.

Ayat ini menerangkan ciri orang yang buruk perangainya, dan perangai buruk itu ialah merosak dan memusnahkan apa yang sebelum ini baik.

Lihatlah dalam kehidupan masyarakat dunia hari ini. Adanya peperangan yang memusnahkan bangunan, membunuh jiwa dan jasad manusia. Adanya adat dan kepercayaan yang membunuh dan memusnahkan kemanusiaan, kecerdikan dan ada jug yang membunuh kemanusiaan dan naluri yang fitrah sehingga berlaku berbagai kekejian dan kehinaan.

Masyarakat pernah mendengar perniagaan organ manusia, selain mendengar penceerobohan terhadap kehormatan dan harga diri manusia. Sedangkan semua itu tidak disukai oleh allah kerana allah menyukai kebaikan untuk manusia dan segala makhluknya.

وَإِذَا قِيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالإِثْمِ فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ
206-Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Manusia sememangnya makhluk yang diciptakan oleh Allah dalam keadaan lemah. Bahkan manusia penuh dengan kekurangan dan dengan itu ada saja kesalahan y;ang dilakukan oleh makhluk bernama manusia.

Namun demikian, sifat yang sangat buruk serta berbahaya bagai manusia ialah sifat bermegah dengan keburukan dan kejahatan. Jika manusia telah sampai keperingkat ini maka sangat sukar untuk membawa mereka kembali keatas landasan yang benar.

Untuk itu Allah menamatkan perbincangan berkenaan dengan sifat yang buruk ini dengan menyebut natijah dari perbuatan buruk itu. Balasan neraka dari Allah dan neraka adalah seburuk-buruk tempat kembali. Semoga kita dilindungi oleh Allah dari menjadi penghuni neraka yang penuh kesengsaraan itu.
Amin.

Jumaat
4 Rabiulawal 1440
1 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *