*TADABBUR WAHYU SIRI 409*

*2.194.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 206*

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاء مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَؤُوفٌ بِالْعِبَادِ.

206-Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

Seperti yang dijelaskan dari awal surah al-Baqarah lagi bahawa manusia terdiri dari tiga jenis. Maka pada kali ini diberitahu sekali lagi dan diberitahu halus seperti di awal surah al-Baqarah juga.

Jenis manusia yang ketiga ialah yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Sifat taqwa itu pula pada kali ini dijelaskan dalam bentuk kesediaan mereka untuk menggadaikan nyawa mereka kerana mencari keredaan Allah.

Perkataan  “mengorbankan dirinya pada jalan Allah” dalam terjemahan di atas sebenarnya tidak diterjemah secara literal. Ia sebenarnya adalah maksud tersirat dari lafaz ayat yang bermaksud secara literal “dan dikalangan manusia ada orang yang menjual dirinya kerana mencari keredaan Allah.”

Namun demikian, perkataan “menjual diri” dalam bahasa Melayu lebih menunjukkan kepada makna tidak baik, maka ayat ini diterjemahkan secara maksud tersirat iaitu “mengorbankan diri”.

Mungkin kesan secara tidak sengaja daripada terjemahan seperti ini telah membuatkan segelintir umat Islam dengan mudah menganggap setiap perjuangan yang berbentuk bersenjata dan mengorbankan nyawa itu sebagai jihad yang diberkati Allah.

Mereka tidak sedar dengan maksud sebenar ayat ini ialah menerangkan sifat terpuji yang patut ada pada seorang mukmin ialah sanggup berkorban pada jalan Allah sama dengan harta, masa, kepandaian dan tenaga serta dengan nyawa jika diperlukan.

Ayat ini tidak menyebut semua perkara lain tetapi menyebut  “nafs” sahaja iaitu nyawa. Ini kerana nyawa adalah sesuatu yang paling berharga bagi manusia, jika seseorang itu disifatkan sanggup mengorbankan nyawa, maka sudah tentu dia adalah orang yang sanggup berkorban harta dan tenaga kerana semua itu lebih ringan berbanding dengan nyawa.

Faham dengan maksud ayat ini, Ibnu Asyur menerangkan bahawa contoh orang yang menjual dirinya pada jalan Allah ialah sahabat nabi Shuhaib al-Rumi. Ketika mana beliau tidak dibenarkan untuk berhijrah kemadinah bersama nabi saw, Suhaib telah sanggup memberikan kepada orang-orang Quraish semua hartanya yang dimiliki di Mekah, dengan syarat dia dibiarkan untuk berhijrah mengikut jejak nabi saw.

Orang yang tidak sanggup mengorbankkan sedikit daripada rizeki yang dimilikinya atau memberikan sedikit masa yang ada untuk mendapat pahala dan memberi sumbangan demi Allah bagaimanakah mereka akan diharapkan dapat mengorbankan jiwa dan raga pada jalan Allah…semoga Allah memberi kekuatan dan kesedaran kepada kita semua amin.

Sabtu
5 Rabiulawal 1440
2 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *