*TADABBUR WAHYU SIRI 410*

*2.195.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 208*
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
208-Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam seluruhnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh kamu yang nyata.

Menurut Ibnu Asyur, ayat ini dibawa setelah Allah menerangkan kedudukan manusia yang berbeza dari sudut keimanan mereka dan kepatuhan kepada Allah.

Setinggi -tinggi kedudukan ialah mereka yang “menjual dirinya” demi mencari keredaan Allah. Sementara kedudukan manusia yang paling rendah ialah mereka yang melakukan kefasadan serta kerosakan.

Mereka membawa kemusnaan bukan kepada diri sendiri sahaja tetapi juga kepada orang lain. Dalam keadaan ini didatangkan ayat yang menyeru kepada “assilmi”, perkataan yang digunakan ialah assilmi, yang mengandungi maksud “masuklah kamu kepada agama Islam seluruhnya”.

Dalam masa yang sama, perkataan assilmi bermaksud keselamatan, keamanan dan kesejahteraan. Dengan itu ayat ini mengajak kepada kesejahteraan, mengajak kepada keamanan dan kesejahteraan.

Menurut Ibnu Asyur ayat ini mengajak kepada keamanan dan kesejahteraan setelah diterangkan sebelum ini ada orang yang melakukan kerosakan dan kemusnahan.

Umat Islam nampaknya digesa untuk menjadi manusia yang membawa mesej keamanan dan kesejahteraan, sementara mesej kerosakan, kebinasaan dan kemusnahan bukan dari ajaran Islam.

Mejoriti umat Islam menerima mesej ini, tetapi atas kelalaian umat Islam sendiri mesej ini tidak diterima  oleh orang lain. Hal ini disebabkan oleh kelemahan umat Islam sendiri.

Contohnya kegagalan umat Islam menguasai media diperingkat antarabangsa menjadikan suara umat Islam yang hakiki yang membawa mesej keamanan tidak dapat menembusi penguasaan media antarabangsa.

Kelalaian umat Islam dalam menguasai satu bidang penting ini menjadikan tuduhan keganasan terkena kepada umat Islam.

Selain itu ada juga sebahagian kecil umat Islam yang tesilap langkah lalu menyangka jalan keganasan sebagai alat untuk memperjuangkan hak mereka.

Untuk mengetahui pendirian yang sepatutnya diambil oleh umat Islam sesuai dengan situasi semasa, disarankan agar umat Islam merujuk hasil penulisan yang telah dihasilkan oleh ulama yang “munsif, iaitu yang tidak terlalu keras dalam mengemukakan pandangan mereka dan tidak pula menafikan hak umat Islam untuk bersuara.

Karangan ulama seperti Dr Yusof al-Qaradawi adalah antara penulisan yang sangat dicadangkan untuk ditelaah.

Khususnya buku beliau bertajuk Jihad dalam Islam, buku ini sangat baik dibaca oleh umat Islam bagi menambahkan kefahaman terhadap asas Islam.

Rangkap keduan ayat ini melarang orang-orang beriman daripada mengikut jejak langkah syaitan. Ini kerana syaitan jika dilihat dari sudut sejarah telah mengingkari arahan Allah, sedangkan sebelum itu dia mentaati dan beribadat kepada Allah.

Dari sudut yang lain, umat Islam dilarang daripada mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan sentiasa mengajak manusia untuk melakukan perkara yang membawa kepada kemusnahan dan kerosakan.

Inilah tipudaya syaitan yang menjadi musuh kepada manusia semenjak iblis menolak untuk menghormati manusia, walaupun arahan untuk menghormati Adam itu datangnya dari Allah.

Semoga kita terselamat daripada tipudaya syaitan yang mengajak kepada kebinasaan dan kerosakan. Kita berdoa agar Allah menjadikan kita sentiasa menjadi manusia yang membawa kebaikan keamanan dan kesejahteraan. Amin

Ahad
6 Rabiulawal 1440
3 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *