*TADABBUR WAHYU SIRI 411*

*2.196.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 209*

فَإِن زَلَلْتُمْ مِّن بَعْدِ مَا جَاءَتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُواْ أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
209-Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini  mengingatkan kita kepada peristiwa bagaimana syaitan telah berjaya membuatkan Adam tergelincir dan memakan buah larangan di dalam syurga.

Perkataan yang digunakan umtuk memberi amaran kepada anak-anak Adam ini digunakan juga sewaktu Allah menceritakan peristiwa Adam dengan iblis “fa azallahuma syaitan” lalu mereka berdua telah digelincirkan oleh syaitan.

Menurut Ibnu Asyur, salah satu daripada makna ayat ini ialah larangan mengikut jejak langkah syaitan disini bermaksud larangan Allah kepada para sahabat yang menolak perjanjian Hudaibiyah.

Ini kerana ayat ini dan sebelumnya menurut Ibnu Asyur diturunkan sempena dengan peristiwa Hudaibiyah. Dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah, mejoriti sahabat tidak setuju dengan tindakan nabi saw yang memilih untuk berdamai dengan kaum musyrikin Mekah.

Oleh itu, ayat ini turun bagi menerangkan kepada para sahabat agar mereka menerima perjanjian itu. Kerana itu dalam ayat sebelum ini, Allah berfirman “udkhlu fissilmi” bermaksud masuklah kamu kedalam keamanan” menurut Ibnu Asyur ia bermaksud juga menerima perjanjian dan bukannya mahukan peperangan.

Jika makna ini diambil maka ayat ini menegaskan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan mahukan kerosakan dan kemusnahan.

Jika kefahaman seperti yang diutarakan oleh Ibnu Asyur ini diterima, maka ia menjadi bukti juga kepada lemahnya pandangan yang mengatakan pemimpin boleh bertindak bertentangan dengan keputusan syura.

Pandangan ini menjadi lemah kerana mereka menggunakan peristiwa Hudaibiyah sebagai hujah, menurut mereka dalam peristiwa Hudaibiyah nabi tetap membuat perjanjian walaupun para sahabat menolaknya.

Mereka menjadikan hujah ini sebagai alasan untuk mengatakan bahawa seseorang ketua berhak menolak keputusan syura.

Namun demikian, pandangan ini kelihatan lemah jika dilihat berdasarkan pandangan  Ibnu Asyur yang mengatakan bahawa peristiwa Hudaibiyah adalah perintah dan wahyu dari Allah.

Oleh itu, sememangnya nabi saw tidak mengikut syura dalam perjanjian Hudaibiyah kerana baginda tunduk terhadap perintah wahyu. Pandangan ini kelihatan lebih sekata kerana dalam banyak keadaan nabi saw tidak menentang keputusan syura sebaliknya baginda sentiasa tunduk dengan syura kecuali seperti dalam keadaan peristiwa Hudaibiyah yang mana arahan Allah didahulukan daripada keputusan syura.

Rangkap terakhir ayat ini menyebut dua sifat Allah iaitu maha perkasa dan maha bijaksana. Kedua-dua sifat ini disebut bagi memberi amaran kepada mereka yang mengikut jejak langkah syaitan.

Sesungguhnya Allah maha perkasa dan boleh menghukum mereka, akan tetapi sifat perkasa Allah itu tidak membuatkan manusia berasa takut dengan keadilan yang Allah putuskan, ini kerana Allah bersifat dengan sifat maha bijaksana. Sifat bijaksana menjadikan tuhan menghukum hanya berdasarkan kesalahan dan tuhan tidak bersifat zalim.

Isnin
7 Rabiulawal 1440
4 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *