*TADABBUR WAHYU SIRI 412*

*2.197.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 210*

هَلْ يَنظُرُونَ إِلاَّ أَن يَأْتِيَهُمُ اللَّهُ فِي ظُلَلٍ مِّنَ الْغَمَامِ وَالْمَلائِكَةُ وَقُضِيَ الأَمْرُ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الأُمُورُ
210-Tidaklah mereka menantikan kecuali kedatangan  (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat, padahal telahpun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.

Ayat ini sebenarnya sangat simbolik. Ini kerana makna zahir ayat ini berlainan daripada makna tersirat.

Ayat ini pada zahirnya bermaksud “apakah mereka melihat kecuali kedatangan Allah dan malaikat dalam himpunan awan”.

Namun demikian menterjemah secara literal begini tidak dapat memahamkan maksud sebenar ayat ini.

Dengan itu para ulama khalaf mentakwilkan ayat ini dengan fahaman yang bersesuaian dengan makna tersirat.

Ayat ini tidak boleh difahami secara literal kerana sifat Allah tidak menyamai sifat makhluk. Jika difahami secara zahir bahawa Allah dan malaikat datang, maka keadaan ini memberi maksud Allah menyamai makhluk.

Walaupun ulama salaf tidak merasakan perlunya mentakwil ayat ini dan menyerahkan maksudnya kepada Allah, namun para ulama khalaf cuba mencari maksudnya yang boleh difahami dengan menggunakan takwilan yang tidak bertentangan dengan kaedah bahasa Arab.

Kefahaman secara literal tidak memadai kerana ayat ini menceritakan bahawa Allah datang dengan malaikat dalam awan tebal. Makna zahir ayat ini ini tidak dapat diterima kerana dalam ayat yang lain Allah sendiri mengatakan bahawa sifatNya tidak menyerupai makhluk. Jika Allah datang dengan malaikat dalam gumpalan awan maka disitu ada unsur kesamaan antara Allah dan makhluk. Hal ini sudah tentu tidak dapat diterima.

Oleh itu para ulama memahami ada makna tersirat yang tidak disebut tetapi dimaksudkan dalam ayat ini. al-Zamakhsyari menyatakan dalam tafsir beliau bahawa yang dimaksudkan dengan kedatangan Allah ialah berlakunya ketetapan Allah, beliau juga mengatakan bahawa ketetapan yang dimaksudkan disini ialah azab Allah.

Dengan itu ayat ini bertujuan memberi peringatan kepada mereka yang membawa kerosakan dan kefasadan bahawa mereka tidak melakukan perkara tersebut kecuali mereka seolah-olah sedang menunggu kedatangan azab dari Allah.

Azab atau ketentuan dari Allah itu digambarkan sebagai himpunan awan, hal ini bagi menggambarkan ketakutan dan peritnya azab yang bakal diterima.

Dan pada waktu kedatangan azab itu tidak ada lagi usaha yang dapat menyelamatkan manusia kerana hari akhirat bukan lagi hari untuk berusaha sebaliknya hari akhirat adalah hari pembalasan.

Dengan itu telah dijelaskan bahawa segala ketentuan telah ditulis dan diputuskan oleh Allah.

Adapun selagi mana manusia masih berada dialam dunia ini maka maka hendaklah manusia jadikan sebagai tempat persediaan untuk manusia bersedia dengan segala ketaatan dan meninggalkan segala larangan Allah.

Selasa
8 Rabiulawal 1440
5 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *