*TADABBUR WAHYU SIRI 413*

*2.198.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 211*

سَلْ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَمْ آتَيْنَاهُم مِّنْ آيَةٍ بَيِّنَةٍ وَمَن يُبَدِّلْ نِعْمَةَ اللَّهِ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ.

211-Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepadaNya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.

Semenjak sekian lama surah al-Baqarah tidak menyebut tentang Bani Israel, lebih 50 ayat sebelum ini tidak menyebut perkataan Bani Israel, sebaliknya membaincangkan tentang pelbagai topik tanpa menyebut tentang mereka.

Namun demikian, pada kali ini Bani Israel disebut sekali lagi, kali ini disebut bagi menerangkan keburukan yang telah dilakukan oleh mereka.

Cerita Bani Israel telah dipelajari dalam surah ini secara panjang lebar, bermula dari ayat 40 berbagai peristiwa yang telah berlaku dalam sejarah Bani Israel telah dipaparkan.

Peristiwa-peristiwa itu telah menyaksikan bagaimana Bani Israel menerima dan melihat banyak sekali tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka menerima berbagai peluang untuk membina kehidupan yang baik bersama nabi-nabi dan ajaran mereka.

Namun demikian Bani Israel telah membuktikan bahawa disebalik peluang itu, mereka telah gagal menjadi manusia yang cemerlang.

Ketika Allah membincangkan tentang sifat yang buruk, kini Bani israel disebut kembali. Hal ini memberi isyarat kepada betapa perangai yang buruk sangat besar kesannya kepada manusia samada ketika berada di dunia atau di alam akhirat.

Alangkah buruknya nasib seseorang yang setiap kali sifat buruk disebut, maka dirinya akan menjadi ingatan dan sebutan. Alangkah malangnya nasib seseorang yang menghabiskan masa di dunia ini untuk menjadi contoh dan ikutan yang jahat kepada manusia.

Dalam keadaan sebegini siapa sahaja boleh memiliki sifat Bani Israel tersebut, ini kerana sifat itu tetap wujud sehingga hari kiamat.

Dalam ayat ini Allah menyebut keburukan yang telah dilakukan oleh Bani Israel ialah mereka telah mengubah nikmat Allah. Maksud mengubah nikmat Allah itu boleh difahami sebagai mengubah kitab yang diturunkan kepada mereka.

Ini kerana kitab Allah yang diturunkan kepada sesuatu kaum adalah panduan dan ia adalah nikmat yang sepatutnya dihargai oleh kaum tersebut. Tanpa panduan, sudah tentu manusia akan berada dalam kesesatan dan kesengsaraan.

Menurut Ibnu Asyur, mengubah nikmat Allah juga bermaksud mereka mengingkari perintah Allah kepada mereka.

Rangkap terakhir ayat ini mendatangkan sifat Allah yang keras iaitu Allah sangat pedih azabnya. Sifat kasar dan keras ini disebut bersesuaian dengan topik yang dibincangkan. Allah akan menerima penentangan terhadapNya dengan sifat yang keras dan azab yang pedih.

Rabu
9 Rabiulawal 1440
6 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *