TADABBUR WAHYU SIRI 414

2.199.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 212
زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُواْ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُواْ وَالَّذِينَ اتَّقَواْ فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَن يَشَاء بِغَيْرِ حِسَابٍ.
212-Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).

Mengapakah manusia sanggup melakukan kejahatan walaupun mereka telah mengetahui hakikat kebenaran?

Ayat ini menjawab persoalan diatas, sering kali manusia memilih untuk melakukan sesuatu yang membawa kepada keuntungan dunia dan keseronokannya walaupun dengan jalan membelakangi petunjuk Allah.

Dalam ayat ini digambarkan kehidupan dunia sebagai sesuatu yang mengasyikkan dan melalaikan dan keadaan ini dinisbahkan kepada situasi yang dimiliki oleh orang-orang kafir.

Adalah perlu diingatkan bahawa perkataan dunia dalam al-Quran tidak semestinya buruk. Ini kerana Allah juga menggambarkan bahawa orang beriman meminta untuk mendapat kebaikan didunia sebagaimana mereka memohon untuk mendapat kebaikan diakhirat.

Pada kali ini Allah menerangkan bahawa tindakan melakukan kejahatan demi mendapatkan habuan adalah tindakan keduniaan yang tercela. Keadaan tercelanya dunia dalam ayat ini tidak dinyatakan secara terang-terangan tetapi dapat difahami melalui ayat ini yang menghubungkannya dengan orang kafir.

Kerapkali juga pembaca terkeliru dan menganggap sifat cinta dunia ini akan ada hanya kepada orang kafir. Sedangkan dalam kehidupan realiti orang Islam juga tidak kurang kecintaan mereka kepaada dunia.

Buktinya ramai sahaja orang Islam yang sanggup melakukan keburukan dan kejahatan demi mendapat habuan dunia dan memperkecilkan kesan dan dosa yang akan dirasai di akhirat.

Akibat salah faham terhadap gaya penyampaian al-Quran ini, terdapat sebahagian umat Islam yang tidak memberikan keutamaan kepada pembersihan jiwa dan mengikis kecintaan mereka kepada dunia.

Ini kerana mereka merasakan bahawa sifat itu hanya ada kepada orang kafir sahaja.
Kefahaman seperti ini adalah tidak benar, ini kerana al-Quran menisbahkan kecintaan kepada dunia adalah situasi yang dialami oleh orang kafir kerana orang Islam yang mahu dibentuk oleh Islam adalah orang yang tidak meletakkan keduniaan sebagai matlamat tertinggi dan kehidupan akhirat itulah yang lebih utama bagi mereka.

Ahmad Mustafa al-Maraghi dalam tafsir beliau menjelaskan bahawa ayat ini ditujukan kepada mereka yang tidak percaya kepada perlunya untuk menghayati ketundukan kepada Allah. Mereka juga tidak dapat menerima hakikat bahawa manusia terikat dengan hak-hak sesama mereka.

Penafian ini membawa kepada seseorang itu menjadikan dunia sebagai tujuan terpenting dalam kehidupan sementara agama hanya menjadi simbol dan ikutan semata-mata.

Dalam ayat ini Allah menyebut tentang dua sifat buruk, pertama kecintaan kepada dunia dan kedua sifat memperlekehkan orang yang beriman. Penerangan terhadap maksud cinta dunia telah dijelaskan diatas, maka kini akan dijelaskan pula maksud mengejek orang-orang yang beriman.

Menurut Ahmad Mustafa al-Maghari, maksudnya ialah orang yang mengejek tindakan orang yang beriman samada kerana mereka sanggup mengharungi kepayahan dan berdepan dengan kehilangan nikmat dunia, semata mata disebabkan pengorbanan mereka pada jalan Allah. Contoh yang disebut oleh belliau ialah sahabat bernama Suhaib al-Rumi yang meninggalkan harta beliau kerana berhijrah bersama Rasulullah saw.

Dalam masa yang sama mereka yang tidak beriman juga mengejek orang-orang beriman yang memiliki kekayaan tetapi tidak berpoya-poya dengan kekayaan tersebut.

Sebaliknya mereka membelanjakan kekayaan yang dimiliki untuk membantu orang lain atau memberikan harta mereka pada jalan Allah.

Bagi orang yang tidak beriman perbuatan seperti ini adalah satu kebodohan kerana mereka tidak membuat ukuran berdasarkan dosa dan pahala sebaliknya hanya melihat kepada keuntungan dunia dan keseronokannya semata-mata.

Kekeliruan dan penilaian yang salah ini dijawab oleh Allah dengan rangkap terakhir ayat ini bermaksud: Padahal orang-orang yang bertaqwa lebih tinggi daripada mereka pada hari kiamat kelak. Dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira.

Khamis
10 Rabiulawal 1440
7 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *