TADABBUR WAHYU SIRI 415

2.200.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 213

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

213-Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu , maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

Ayat ini boleh dikatakan sebagai antara ayat al-Quran yang agak sukar difahami dari sudut struktur ayat. Ini kerana dalam ayat ini terdapat banyak perbincangan yang di utarakan.

Di permulaan ayat Allah menerangkan tentang umat manusia yang sebelum ini bersatu. Persoalan para ahli tafsir ialah apakah yang dimaksudkan ummah. Ini kerana terdapat beberapa makna bagi ummah antara maksud ummah ialah: sekumpulan manusia, agama, masa dan idola.

Dr Wahbah Zuhaili dalam tafsir beliau al-Tafsir al-Munir mengatakan bahawa kebanyakan ahli tafsir memilih makna “millah” iaitu agama. Dengan itu ayat ini menunukkan bahawa para rasul membawa agama yang sama dan mereka sepakat dalam perkara dasar agama dan kepercayaan.

Persoalan kedua ialah apakah yang dimaksudkan dengan rangkap “umat manusia sebelum ini adalah umat yang satu”.

Ibnu Asyur menyatakan bahawa ayat ini mungkin bermaksud umat manusia sebelum ini umat yang satu dalam kesesatan lalu Allah membangkitkan para rasul. Selain itu ayat ini juga boleh membawa makna umat manusia sebelum ini umat yang satu dalam keimanan.

Yang menjadikan ayat ini agak panjang dan agak sukar untuk difahami ialah adanya pula tugas rasul yang dinyatakan setelah Allah menyebut perutusan rasul.
“maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran”

Perlu diingatkan bahawa menjadi kebiasaan al-Quran menyebut tugas rasul setiap kali disebut tentang perutusan mereka kepada manusia. Hal ini peting kerana keimanan kepada rasul dan pengetahuan terhadap tugas hakiki mereka dapat menyelamatkan manusia daripada berlebihan dalam menghormati dan memuliakan rasul. Kaum Nasrani telah terjerumus kedalam kesesatan apabila mereka berlebihan dalam memuliakan rasul, sehingga menisbahkan sifat Tuhan kepada Rasul mereka.

Setelah itu ayat ini memberitahu tentang penurunan kitab kepada para rasul. Pemberitahuan ini sangat penting kerana kitab Allah hanya diterima melalui seorang rasul yang diutuskan kepada manusia. Jika nabi Muhammad saw telah menjadi rasul akhir zaman, maka kepercayaaan ini akan membawa kepada sudah tidak ada kitab lagi yang akan diturunkan kepada manusia selepas kitab al-quran.

Selepas menerangkan bahawa Allah menurunkan kepada rasul mereka kitab, dijelaskan pula peranan rasul dan kitab tersebut. Peranan rasul dan kitab dijelaskan sebagai penghukum bagi menyelesaikan masalah manusia.

Peranan kitab sebagai menghukum ini sebenarnya menafikan sifat sebahagian umat yang hanya menjadikan kitab mereka sebagai bacaan untuk mengambil berkat, menjadi azimat dan mentera semata-mata. Peranan kitab sebagai panduan hidup dan rujukan tidak dipedulikan.

Apabila disebut sebagai penghukum, seringkali pula disangkakan maksud hukum ialah apa yang dijatuhkan oleh mahkamah semata-mata. Sebenarnya persoalan yang diselesaikan oleh rasul meliputi seluruh bidang kehidupan manusia samada kepercayaan, pemikiran dan amalan manusia. Itulah yang dimaksudkan dengan menghukum disini.

Selepas menerangkan peranan kitab yang diturunkan kepada manusia, ayat ini menerangkan pula pendirian manusia terhadap rasul dan kitab yang dibawa. Sebahagian manusia menerima risalah yang dibawa dan sebahagian pula enggan menuruti ajaran para rasul.

Ayat ini turut menerangkan sebab manusia menolak ajaran rasul dan kitab yang diturunkan, tidak lain dan tidak bukan kerana “baghyan”.
Menurut Ibnu Asyur perkataan baghyan ada dua maksud. Pertama dengki dan kedua kezaliman. Inilah sebab manusia menolak para rasul dan kitab yang diturunkan kepada mereka. Sepatutnya umat Islam memberi fokus dalam memerangi dua sifat ini agar berlaku pembersihan jiwa dan umat Islam mampu menerima segala mesej yang dibawa oleh Rasulullah saw tanpa ada sebarang keraguan.

Ayat ini diakhiri dengan natijah terhadap pendirian manusia terhadap rasul dan kitab, mereka yang menerima ajaran rasul mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah.

Dapat dirumuskan bahawa fokus utama ayat ini ialah menerangkan bahawa Allah menghantarkan rasul dan menurunkan kitab sebagai panduan kepada manusia. Kedatangan rasul yang membawa bersama mereka kitab telah disambut oleh manusia dalam keadaan yang berbeza.

Sebahagian daripada mereka telah menerima risalah kenabian tersebut, sementara sebahagian pula tidak menerimanya. Orang yang menerima risalah kenabian adalah orang yang mendapat rahmat dari Allah, adapun mereka yang menentang para rasul berada dalam keadaan yang sebaliknya.

Jumaat
11 Rabiulawal 1440
8 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *