*TADABBUR WAHYU SIRI 416*

*2.201.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 214*
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاء وَالضَّرَّاء وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

214-Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Setelah Allah  mengajak orang beriman untuk masuk ke dalam Islam seluruhnya,  ayat al-Quran menerangkan pula bagaimana kaum terdahulu berdepan dengan risalah yang dibawa oleh para rasul.  

Sebahagian daripada mereka menerima seruan tersebut dengan keimanan dan sebahagian yang lain menerimanya dengan penentangan.

Ayat ini pula menjelaskan bahawa seorang yang beriman akan diuji oleh Allah. Dalam erti kata yang lain, ayat ini sebenarnya  mahu menegaskan bahawa penerimaan terhadap risalah yang dibawa oleh nabi adalah sesuatu yang mesti diterima oleh manusia.

Walaupun kesan daripada penerimaan itu, mereka berdepan dengan kepayahan dan kesusahan. Ayat ini menjelaskan bahawa kepayahan dan kesusahan itu telah dilalui oleh golongan beriman terdahulu,   sekaligus kelihatan bertujuan untuk memberi motivasi kepada kaum muslimin yang mendepani ujian dan cabaran

Jika mereka berdepan dengan kesukaran maka sebenarnya itulah sunnah alam yang telah di jadikan oleh Allah kerana situasi yang sama telah pun dilalui oleh umat-umat yang terdahulu.

Imam Al-Qatadah  mengatakan bahawa ayat ini diturunkan dalam peperangan Khandak ketika mana umat Islam berdepan dengan situasi getir disebabkan kekurangan harta, makanan dan persiapan peperangan yang banyak. 

Peperangan Khandaq memerlukan pengorbanan yang besar kerana pakatan tentera musuh terdiri daripada seluruh kabilah Arab yang bergabung menentang kerajaan Madinah yang masih baru. Disebabkan keadaan ini peperangan Khandak juga dipanggil peperangan Ahzab.

‘Ata’ pula meriwayatkan bahawa ayat ini turun ketika permulaan Hijrah Rasulullah saw, ketika itu para sahabat berdepan dengan cabaran yang sangat getir kerana mereka telah meninggalkan harta benda mereka di Mekah. 

Selain daripada berdepan dengan kekurangan harta, nabi saw dan para sahabat juga berdepan dengan permusuhan dari pihak ahli kitab.

Ujian ini menjadi lebih sukar apabila sesetengah hartawan Madinah ketika itu menzahirkan sifat munafik dan penentangan mereka secara tersembunyi terhadap risalah kenabian dan pembinaan negara Madinah.

Walaupun riwayat Qatadah dan ‘Ata’  tidak mempunyai sandaran yang kukuh tetapi dari sudut maksudnya ayat ini menyeru agar umat Islam sentiasa mengutamakan prinsip berpegang dengan dasar-dasar agama dan dalam masa yang sama menjadikan setiap rintangan yang dihadapi sebagai satu cabaran buat mereka. 

Ayat ini dari sudut pandang yang lain sebenarnya mengajak umat Islam agar memberikan sumbangan dan menyertai usaha-usaha membawa perubahan dalam masyarakat.

Ini kerana ujian berbentuk kesusahan, kesabaran, kekurangan habuan dunia dan pengaruh tidak terjadi kepada mereka yang tidak terlibat dengan apa-apa usaha dan enggan menyertai kerja-kerja islah dan penambahbaikan.

Seorang yang berilmu akan berdepan dengan ujian apabila cuba menyampaikan ilmunya dan membawa masyarakat kearah jalan yang benar. Seperti juga seorang pemimpin akan berdepan dengan ujian ketika dia bersama masyarakat.

Seorang hartawan akan diuji dengan kecintaan kepada harta dan perasaan untuk terus menghimpun kekayaan sedangkan dakwah dan umah memerlukan pengorbanannya.

Adalah perlu diingatkan juga bahawa kesabaran bersama prinsip-prinsip Islam  dan tetap dengan ajaran Allah tidak sekali-kali bermaksud umat Islam dilarang mengambil keringanan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya.

Sabtu
12 Rabiulawal 1440
9 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *