*TADABBUR WAHYU SIRI 427*

*2.205.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 220*
فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْيَتَامَى قُلْ إِصْلاحٌ لَّهُمْ خَيْرٌ وَإِنْ تُخَالِطُوهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ الْمُفْسِدَ مِنَ الْمُصْلِحِ وَلَوْ شَاء اللَّهُ لأعْنَتَكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
220-Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Setelah merujuk kepada beberapa sumber dalam ilmu Wakaf (berhenti) didapati bahawa para ulama bersalahan pandangan berkaitan ayat ini. Syeikh Abdul Fatah al-Qadi menyatakan dalam  kitab beliau Basyir  al-Yusr tentang perbincangan ini dengan agak terperinci tetapi kurang sesuai untuk dibincangkan disini memandangkan ia melibatkan pengetahuan tentang asas wakaf dan ibtida’.

Ayat ini seterusnya membincangkan tentang persoalan berkaitan anak yatim. Salah satu daripada persoalan agak berat bagi sahabat ialah apabila turunnya ayat yang menyatakan bahawa orang-orang yang memakan harta anak yatim sebenarnya memakan api neraka.

Hal ini sangat menyusahkan para sahabat, ini kerana mereka dalam masa yang sama sangat mahukan pahala menjaga anak yatim.

Sebahagian sahabat menjaga anak yatim dan memberi pendidikan serta kasih sayang kepada mereka tetapi perbelanjaan anak-anak yatim itu dari harta mereka sendiri.

Kemuskilan timbul ialah kadang-kala anak-anak sahabat termakan makanan anak yatim. Keadaan ini berlaku kerana mereka tinggal dalam satu rumah dan makanan adalah sukar untuk diasingkan.

Kerumitan ini telah dijawab oleh Allah dengan memberikan keringanan kepada kaum muslimin. Ini kerana kehidupan dalam sebuah rumah tidak memungkinkan pengasingan berlaku sepenuhnya, bahkan ia tidak baik kepada pedidikan anak-anak tersebut.

Dengan itu ayat ini menerangkan secara terperinci maksud sebenar orang yang dimurkai ole Allah kerana memakan harta anak yatim. Mereka adalah orang yang melakukannya dalam bentuk yang membawa kemudaratan terhadap harta anak yatim. Kemurkaan Allah bukannya terhadap mereka yang memakan harta anak yatim dalam situasi kekeluargaan dan anak-anak yatim juga memakan harta mereka.

Penerangan tentang hakikat ini telah memahamkan pembaca tentang satu hakikat agama yang suci ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu yang menyusahkan manusia sedangkan ianya satu keperluan.

Islam bukanlah hukum yang statik dan beku sehingga tidak mengambil kira keperluan manusia. Dalam masa yang sama kemaslahatan anak yatim itulah yang telah ditekankan oleh Islam.

Bayangkan jika Allah tetap mengharamkan sesiapa yang memakan harta anak yatim tanpa mengira situasi dan kadarnya.  Sudah tentu hukum yang keras itu akan menyebabkan tidak ada siapa pun yang sanggup membantu anak yatim. Keadaan ini akhirnya akan membawa kemudaratan kepada anak yatim itu sendiri.

Alangkah sucinya Islam agama yang sentiasa membawa mesej keadilan dengan memberikan setiap yang berhak dan menolak kemudaratan daripada manusia.

Rabu
23 Rabiulawal 1440
20 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *