*TADABBUR WAHYU SIRI 429*

*2.207.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 222*
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُواْ النِّسَاء فِي الْمَحِيضِ وَلاَ تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىَ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

222-Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Dari isu perkahwinan, kini berpindah pula kepada isu berkaitan wanita. Persoalan mengenai haid walaupun berlaku terhadap wanita akan tetapi ia tetap mempunyai hubungan dengan kaum lelaki.

Ini kerana melakukan persetubuhan ketika pasangan dalam keadaan haid adalah diharamkan oleh Islam. Ayat ini dengan jelas menerangkan “illah” atau sebab kepada pengharaman ini, “katakanlah ianya ‘aza’.” Perkataan “aza” membawa makna menyakikan. Menurut Ibnu Asyur aza ialah sesuatu yang menyakitkan tetapi tidak terlalu bahaya.

Menurut beliau, hikmah dijelaskan bahawa melakukan hubungan jenis dalam masa haid adalah “aza’ sebenarnya bertujuan untuk melarang umat Islam dari melakukannya, dalam masa yang sama menolak tindakan ahli kitab yang sangat memberatkan hukum wanita dalam haid.

Islam sebagai agama yang mengajak kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat sentiasa memberi panduan yang bersifat wasatiayah.

Maksudnya, suruhan dan larangan dari agama Islam tidak bersifat keterlaluan dan tidak pula bersifat meremehkan sesuatu yang perlu dilakukan oleh manusia.

Larangan berkaitan dengan wanita yang kedatangan haid hanyalah melakukan persetubuhan, adapun perkara lain yang berkaitan hubungan suami isteri adalah dibenarkan kerana ia tidak membawa sebarang mudarat.

Para pembaca yang memerhatikan dengan baik ayat ini dan ayat sebelumnya akan mendapati bahawa kedua-dua ayat ini mempunyai maqasid atau objektif menjaga kesejahteraan manusia.

Larangan berkahwin dengan orang kafir adalah demi menjaga kesejahteraan hidup dan kelangsungan akidah yang murni. Sementara larangan melakukan persetubuhan ketika haid pula adalah demi mnjaga kebersihan dan kesihatan jasad.

Jika umat Islam dapat mengembangkan kefahaman ini dan mengamalkan kebersihan rohani dan jasmani dalam kehidupan seluruhnya sudah tentu umat Islam akan menjadi contoh yang baik kepada umat manusia seluruhnya.

Di akhir ayat ini, jelas sekali Allah menerangkan bahawa Dia suka kepada orang-orang yang bersuci. Sayangnya umat Islam telah menyempitkan makna suci kepada perkara yang hanya berkaitan dengan ibadat sahaja.

Umat Islam mempelajari air bersih untuk berwuduk dan beristinjak, umat Islam mengamalkan kebersihan ketika solat samada dari sudut pakaian dan tempatnya. Umat Islam mengamalkan mandi wajib demi mengangkat hadas besar.

Namun demikian ramai umat Islam yang menghadkan kebersihan terhadap perkara itu sahaja, dalam masa yang sama mengabaikan aspek kebersihan persekitaran.

Kebersihan alam sekitar menjadi isu besar dikebanyakan negara umat Islam. Kebersihan sungai, udara dan sebagainya menjadi isu yang tidak berkesudahan dikebanyakan negara umat Islam yang telah mengatakan “sesungguhnya Allah suka kepada orang yang mensucikan dirinya”.

Mengapakah keadaan ini boleh berlaku? Besar kemungkinan keadaan ini berlaku kerana umat Islam gagal memahami nas al-Quran dan hadis dalam konteks semasa.

Umat Islam masakini selain telah  menyempitkan suruhan agama hanya berlegar dalam isu-isu ibadat sahaja. Selain itu umat Islam telah gagal mengesan suruhan agama dalam perkara yang diluar dari sempadan ibadat.

Ramai umat Islam yang tidak dapat mengesan dimanakah nas-nas yang melarang membuang sampah merata-rata, suruhan menjaga kebersihan sungai dan sebagainya.

Akibat kegagalan ini mereka merasakan bahawa islam tidak mengambil peduli tentang hal ini dan mereka tidak tertakluk kepada penjagaan alam sekitar dan sebagainya.
Kefahaman seperti ini perlu sekali diperbaiki dengan mempelajari Islam sebagai sebuah agama sepanjang zaman yang menyediakan panduan bersifat semasa tetapi dalam bentuk kaedah-kaedah yang perlu diperinci dan dijelaskan mengikut keadaan semasa dan kefahaman yang dinamik.

Jumaat
25 Rabiulawal 1440
22 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *