*TADABBUR WAHYU SIRI 431*

*2.209.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 224*

وَلاَ تَجْعَلُواْ اللَّهَ عُرْضَةً لِّأَيْمَانِكُمْ أَن تَبَرُّواْ وَتَتَّقُواْ وَتُصْلِحُواْ بَيْنَ النَّاسِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

224-(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

Ayat ini sehingga tiga ayat selepas ini, membincangkan hukum sumpah. Hukum sumpah dibincangkan disini kerana ianya terbahagi kepada dua bahagian.

Pertama sumpah secara umum dan kedua sumpah yang khusus dan mempunyai hukum tersendiri.

Yang dimaksudkan dengan sumpah yang khusus ini ialah hukum ila’. Ila’ ialah seorang lelaki yang bersumpah untuk tidak bersetubuh dengna isterinya. Hukum ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam ayat 226.

Perbincangan berkaitan sumpah ini dimulakan dengan larangan Allah daripada menjadikan nama Allah sebagai halangan dalam melakukan kebaikan.

Mengikut Rasyed Redha, sesungguhnya Allah tidak reda dirinya dijadikan halangan dan alasan untuk manusia tidak berbuat kebaikan.

Ini kerana Allah sangat mahukan hambanya melakukan kebaikan pada setiap masa dan kepada siapa sahaja yang mereka temui.

Apabila seseorang bersumpah dengan nama Allah untuk tidak melakukan sesuatu perkara yang baik maka pada waktu itu dia telah menjadikan Allah sebagai halangan dari melakukan kebaikan.

Ini kerana sumpah dengan nama Allah tidak boleh dilanggar begitu sahaja. Apabila seseorang bersumpah dengan nama Allah dia telah memperteguhkan tekadnya dengan nama tuhan yang maha berkuasa. Perbuatan seperti ini tidak boleh dipandang remeh kerana menyalah gunakan nama Allah adalah satu penghinaan kepada tuhan yang maha mulia.

Oleh itu menjadikan  Allah sebagai halangan dari berbuat baik tidak disukai oleh Allah kerana Allah mahukan hambanya melakukan kebaikan.

Terdapat beberapa hadis berkaitan dengan sebab turunnya ayat ini, riwayat al-Kalbi menyatakan ayat ini turun  kepada Abdullh bin Rawahah yang bersumpah untuk memutuskan hubungan dengan salah seorang daripada saudara beliau.

Riwayat Ibnu Jarir Al-Tabari pula mengatakan bahawa ayat ini turun apabila Abu Bakar Al-Siddiq bersumpah untuk tidak memberi bantuan yang biasa diberikan kepada seorang lelalki kerana beliau terlibat bersama kaum munafikin dalam menuduh Aishah r.a sebagai telah berlaku khianat.

Turunnya ayat ini melarang mereka daripada menjadikan Allah sebagai halangan dalam melakukan kebikan.

Secara tidak langsung dapat difahami disini bawa Allah masih menamakan perbuatan membantu mereka yang melakukan keburukan itu juga sebagai satu amal mulia.

Dalam peristiwa Abu Bakar, dapat difahami betapa Allah  mahu mengangkat kemuliaan Abu Bakar dengan menyuruh beliau tetap membantu lelaki yang menyakiti beliau sehingga terbukti bahawa tindakan membantu yang dilakukan itu hanya berharapkan kepada keredaan Allah semata-mata.

Ahad
27 Rabiulawal 1440
24 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *