*TADABBUR WAHYU SIRI 433

*2.31.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 226*

لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ فَإِنْ فَاءوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

226-Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat ini merupakan ayat terakhir dalam kumpulan ayat yang membincangkan hukum berkaitan sumpah. Dalam ayat ini isu yang ditimbulkan ialah lelaki yang bersumpah untuk tidak mahu bersetubuh dengan isterinya.

Perbuatan ini dinamakan ila’ dan perbuatan ini merupakan amalan yang telah dilakukan oleh orang-orang arab semenjak zaman jahiliah lagi.

Apabila para sahabat memeluk Islam, ianya terus dilakukan oleh sebahagian orang sehinggalah turunnya ayat ini yang mengandungi penerangan terhadap hukum ila’.

Pada zaman jahiliah, ila’ dilakukan apabila seorang lelaki yang tidak suka kepada isterinya dan dalam masa yang sama tidak mahu mencerikannya kerana takut bekas isterinya akan dikahwini oleh lelaki lain.

Perbuatan ini sangat menzalimi kaum wanita kerana keadaan menjadikan bmereka tergantung, tidak diceraikan sehingga mereka boleh membina kehidupan baru dan tidak pula digauli dengan cara yang adil dan memberikan hak mereka secara sempurna.

Tambahan pula tempoh masa ila’ yang diamalkan dibzaman jahiliah berkemungkinan menjangkau masa sepanjang dua tahun.

Hal ini sangat menjadi penyeksaan kepada kaum wanita yang telah dihalang dari menyatakan hak mereka.

Datangnya ajaran Islam untuk meletakkan neraca keadilan dan kesaksamaan diatas landasan ajarannya.

Dalam zaman jahiliah, mereka telah menggunakan sumpah dengan nama Allah untuk tidak memberikan hak kepada pihak isteri, merosakkan hubungan kedua pihak dan bertindak dengan menghukum tanpa batas keatas pihak wanita yang lemah.

Lebih buruk apabila semua keburukan itu dilakukan atas nama Allah.

Kedatangan Islam telah mengubah kezaliman tersebut, Allah mengizinkan agar lelaki yang bersumpah untuk tidak bersetubuh dengan isterinya hanya melalui tempoh masa empat bulan sahaja.

Jika dia enggan berbuat demikian maka dia telah dikira menceraikan isterinya dan dia tidak mempunyai hak lagi untuk kembali kepadanya.

Hal ini memberikan penyelesaian kepada masalah wanita yang terinaya akibat dari kemarahan suminya.

Namun demikian seperti permaslahan fekah yang lain, banyak perbezaan ulama dalam perincian hukum ila’ dengan para ulama masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dalam berbagai isu ila’.

Hal ini timbul kerana nas yang ada bersifat umum dan masih banyak ruang yang ditinggalkan untuk para ulama melakukan ijtihad dan menyelesaikan permaslahan tersebut berdasarkan pandangan mereka.

Untuk mengetahui perincian tajuk ila’ eloklah dirujuk kepada buku-buku fekah yang membincangkan permaslahan ini secara lebih mendalam, serta dinyatakan berbagai pandangan dari ulama.

Selasa
29 Rabiulawal 1440
26 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *