*TADABBUR WAHYU SIRI 434*

*2.212.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 227*

وَإِنْ عَزَمُواْ الطَّلاقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
227-Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Ayat ini sebenarnya menerangkan langkah yang perlu dilakukan oleh seorang suami apabila masa yang berlalu telah sampai.

Contohnya dia telah bersumpah untuk tidak bersetubuh dengan isterinya dalam masa maksima iaitu empat bulan. Maka apabila telah sampai tempoh tersebut maka hendaklah dia membuat keputusan, samada mahu kembali dengan kehidupan biasa bersama isterinya atau dia memilih untuk berpisah.

Ini kerana masa paling lama dibenarkan seorang suami untuk bertindak dengan bersumpah tidak bersetubuh dengan isterinya ialah empat bulan. Samada ila’ yang dijatuhkan kepada isteri itu atas faktor perkelahian antara mereka berdua atau dijatuhkan oleh suami atas faktor mendidik isterinya.

Dari sudut istilah, para ulama berbeza pandangan, sebahagian mereka menganggap sumpah tidak mahu bersetubuh yang tidak sampai empat bulan bukan dimanakan ila’.

Bahkan ia adalah sumpah biasa yang jika dilanggar maka mesti kenakan kafarah melanggar sumpah.

Namun demikian, sebahagian ulama pula menganggap sumpah tidak mahu bersetubuh dengan isteri samada mencapai empat bulan atau kurang maka ia adalah ila’.

Pada pandangan kumpulan ini jumlah empat bulan adalah ila’ yang maksima. Para suami adalah tidak dibenarkan untuk bersumpah untuk tidak bersetubuh dengan isteri lebih dari masa empat bulan.

Jika telah sampai masa empat bulan maka para suami mestilah membuat keputusan diatas masa depan perkahwinan mereka, jika dia mahu meneruskan perkahwinan maka keadaan biasa mesti dilakukan dan persetubuhan mesti berlaku.

Adapun jika mereka mahu menceraikan isteri itu maka perceraian itu mesti dijatuhkan segera. Jika suami enggan memberi kata putus dalam hubungan itu, maka para hakim mestilah menjatuhkan talak dan membubarkan perkahwinan.

Berdasarkan keadaan ini maka para ulama mengkiaskan keadaan para suami yang sengaja tidak memberi nafkah kepada isteri atau meninggalkan rumah mereka tanpa sebarang keputusan terhadap ikatan perkahwinan mereka. Para ulama telah menjadikan tempoh ila’ yang diberikan iaitu empat bulan sebagai tempoh yang digunakan oleh hakim untuk menyelesaikan masalah yang telah disebut diatas.

Ibnu Asyur menjelaskan bahawa nabi saw sendiri pernah menjatuhkan ila’ selama sebulan kepada isteri-isteri baginda. Tanpa menyatakan riwayat hadis tersebut Ibnu Asyur telah memberikan pandangan ulama terhadap faktor yang mendorong nabi saw bertindak sedemikian rupa. Sebahagian mengatakan bahawa ia disebabkan oleh masalah kesihatan yang dialami oleh baginda dan sebahagian menyatakan bahawa baginda bertindak demikian setelah mereka semua meminta secara berlebihan nafkah yang diberikan kepada mereka, sedangkan kadar tersebut tidak mampu disediakan oleh nabi saw. Bagi tujuan pendidikan mereka dikenakan ila’ oleh baginda saw.

Rabu
30 Rabiulawal 1440
27 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *