*TADABBUR WAHYU SIRI 435*

*2.213.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 228*

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ وَلاَ يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُواْ إِصْلاحًا وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
228-Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Setelah membincangkan persoalan ila’ kini surah al-Baqarah beralih kepada membincangkan isu isteri yang diceraikan oleh suami.

Sepertimana yang diberitahu sebelum ini, panduan berkaitan hubungan dalam rumahtangga akan dibincangkan secara berturut-turut dalam perenggan ini.

Islam adalah agama yang menjaga kesucian maruah dan keturunan manusia, oleh itu hukum-hakam Islam berkisar sekitar persoalan meletakkan garis panduan untuk mewujudkan kehidupan yang bermaruah, harmoni dan teratur.

Iddah boleh dianggap sebagai masa bertenang yang diberikan oleh tuhan kepada pasangan yang bercerai.

Bagi perceraian talak satu dan dua masa bertenang ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai ruang untuk berfikir.

Para suami yang memiliki kuasa bercerai diberikan juga kuasa untuk rujuk dan kedua-dua kuasa ini boleh dilaksanakan disebelah pihak sahaja.

Dalam ertikata lain, cerai dan rujuk akan berlaku mengikut keputusan pihak suami. Para isteri tidak berhak untuk menolaknya kecuali jika isteri yang melakukan khulu’.

Dalam masa idah mungkin kedua pihak dapat mengembalikan hubungan baik dan perkahwinan akan dapat diteruskan apabila suami menyatakan bahawa dia merujuk kembali isterinya.

Pensyariatan idah sangat besar peranannya dalam menjaga kerukunan hidup manusia. Bayangkan betapa celarunya masyarakat apabila tidak ada peraturan iddah ini.

Seseorang yang bercerai tidak mempunyai peluang lagi untuk menyesali kesilapan dirinya terutamanya jika perceraian telah berlaku atas faktor emosi semata-mata.

Sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak telah terpisah dengan sebab yang mungkin tidak sepatutnya berlaku atau boleh diperbaiki kelemahannya.

Selain ini ketiadaan idah akan mendedahkan manusia kepada persengketaan dan perkelahian kerana berkemungkinan isteri yang diceraikan akan berkahwin dengan pasangan baru.

Pasangan baru itu mungkin dituduh menjadi punca kepada kehancuran rumah tangga pertama perempuan tersebut dan jika perkahwinan baru mereka menghasilkan cahaya mata maka mungkin sahaja anak itu akan menjadi sumber pertikaian baru.

Ini kerana status anak tersebut tidak dapat dipastikan samada dia dari suami yang terdahulu atau suami yang baru. Masyarakat yang dipenuhi dengan pergelutan seperti ini sudah tentu akan menjadi masyarakat yang tidak bahagia dan banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan isu-isu yang sepatutnya boleh dielakkan dengan mudah.

Dengan itu, dalam ayat ini Allah mengharamkan seseorang perempuan menyembunyikan kandungannya ketika dia berkahwin dengan suami yang baru.

Amalan menyembunyikan kandungan ini telah dilakukan di zaman jahiliah, apabila perempuan yang berpisah dengna suaminya lebih suka menasabkan anak yang sedang dikandungkannya kepada suaminya yang baru sedangkan dia telah mengandung sebelum dia berkahwin.

Hal ini menyebabkan kekeliruan nasab berlaku dan Islam mencegah segala aktiviti yang membawa kepada kekeliruan nasab.

Persoalan isteri terseksa dengan adanya talak dan idah dapat diminimakan dengan Allah memberikan kuasa rujuk di tangan suami hanya dua kali. Kali ketiga, suami telah kehilangan hak untuk rujuk dan peluang yang diberikan kepadanya sebanyak dua kali sudah memadai.

Khamis
1 Rabiulakhir 1440
28 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *