*TADABBUR WAHYU SIRI 436*

*2.214.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 229*

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ.

Talak (yang boleh dirujuk hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Ayat ini menerangkan beberapa keadaan dalam hubungan suami isteri. Pertama berkenaan cerai. Al-Quran menggariskan dengan jelas bahawa suami hanya berhak melakukan dua kali rujuk terhadap cerai yang dilafazkan.

Al-Quran memberi amaran samada para suami menjaga hubungan perkahwinan itu dengan baik atau dia melepaskan isterinya dengan cara yang terbaik.

Hukum kedua yang disebut ialah larang kepada suami untuk mengambil semula maskawin yang telah diberikan kepada isterinya. Sebaik sahaja berlaku persetubuhan maka maskawin itu menjadi milik isteri sepenuhnya. Jika berlaku perceraian selepas itu maka para suami tidak berhak untuk meminta agar maskawin itu dikembalikan kepadanya.

Hukum ketiga yang disebut dalam ayat ini ialah berkaitan keadaan dimana pihak isteri yang mahu berpisah dari suami.

Hal ini boleh berlaku apabila isteri tidak lagi mampu untuk taat kepada pihak suami, atas apa-apa sebab termasuklah atas alasan kemanusian.

Pada waktu itu pihak hakim boleh meminta agar isteri mengembalikan sepenuhnya maskawin yang telah diberikan kepada isteri oleh pihak suami.

Jika perceraian jenis ini berlaku maka pihak suami tidak berhak untuk rujuk kepada isteri yang melakukan apa yang dipanggil tebus talak. Ia juga dipanggil dalam istilah ahli fekah sebagai khulu’.

Maqasid atau objektif daripada pensyariatan hukum-hakam di atas sudah tentu bertujuan menjaga keharmonian hidup manusia dimana setiap pasangan perlu sedar dengan batas-batas masing-masing.

Walaupun suami diberikan kuasa akan tetapi kuasa itu terhad.

Ayat ini juga memberikan mesej bahawa isteri juga berhak untuk mengemukakan tuntutan untuk berpisah daripada suaminya. Namun demikian Islam tidak memberikan kuasa mutlak kepada wanita sebaliknya mesyaratkan ianya dipersetujui oleh hakim. Tindakan ini sudah tentu mampu mengawal agar perceraian tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya kerana pihak wanita sering terganggu dengan emosi dan tuntutan perasaan.

Jumaat
2 Rabiulakhir 1440
29 November 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *