*TADABBUR WAHYU SIRI 438*

*2.216.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 231*

وَإِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاء فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَلاَ تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًا لِّتَعْتَدُواْ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ وَلاَ تَتَّخِذُواْ آيَاتِ اللَّهِ هُزُوًا وَاذْكُرُواْ نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمَا أَنزَلَ عَلَيْكُمْ مِّنَ الْكِتَابِ وَالْحِكْمَةِ يَعِظُكُم بِهِ وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
231-Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Dalam ayat ini terdapat beberapa penggunaan bahasa yang menyalahi laras Bahasa Melayu, jika difahami mengikut Bahasa Melayu ia akan membawa makna yang salah.

Pertama ayat ini menyatakan wa iza talaqtumunnisa’ yang bermaksud jika kamu menceraikan para wanita. Maksud sebenar yang mahu disampaikan ialah apabila kamu menceraikan isteri kamu. Penggunaan ini adalah betul dalam laras bahasa Arab dan termasuk dalam bentuk penggunaan lafaz am tetapi dikehendaki darinya makna yang khas.

Perkara kedua ialah apabia al-Quran menyatakan “apabila kamu menceraikan isteri kamu dan sampai ajalnya”.

Ajal dalam bahasa Melayu bermaksud mati, tapi dalam bahasa Arab bermaksud tempoh.

Walaupun begitu yang dimaksudkan dalam ayat ini bukan sampai tempoh habis iddahnya, ini kerana jika telah sampai tempoh habis iddah maka seleuruh ulama ijmak menyatakan bahawa tidak ada hak lagi bagi suami untuk merujuk isterinya yang telah diceraikan.

Oleh itu maksud yang dikehendaki ialah  apabila  hampir habis iddahnya. Ibnu Asyur membawa bukti yang dipetik daripada kitab Mughni al-Labib menyatakan penggunaan ini tidak salah, sebaliknya ia adalah penggunaan yang betul mengikut bahasa arab yang asli.

Perkara ini diterangkan secara ringkas kerana ada segelintir orang yang cuba mengelirukan masyarakat Islam dengan menuduh bahawa bahasa arab yang digunakan oleh al-Quran ada kesilapan dan kecacatannya.

Dari sudut pensyariatan, ayat ini melarang para suami untuk menggunakan kuasa mencerai dan merujuk isteri mereka sebagai jalan untuk berlaku zalim.

Bagaimanakah para suami boleh memudaratkan isteri dengan kuasa yang diberikan mereka ini?

Yang demikian itu dengan cara mereka menceraikan isteri mereka dan apabila hampir tamat tempoh iddah para suami akan merujuk kembali, sebaik sahaja mereka merujuk, isteri itu di ceraikan sekali lagi. Dengan perceraian itu maka bermulalah idah kedua bagi isteri dan begitulah seterusnya untuk talak yang ketiga.

Hal ini akan menghalang isteri yang diceraikan untuk berkahwin dengan pasangan yang lain kerana masih tertakluk kepada idah dari suami mereka.

Sedangkan niat suami semasa merujuk bukan untuk kembali hidup bersama tetapi mepunyai tujuan teresbunyi, semata-mata untuk melambatkan isterinya dari mendapat kebebasan dari ikatan perkahwinan bersamanya.

Tindakan ini merupakan satu penginayaan kepada mereka. Dengan itu Allah memberi amaran keras kepada suami yang bertinda demikian.

Al-Quran mengingatkan para suami kepada satu asas yang sangat fandumental dalam Islam iaitu sesiapa juga yang melakukan kezaliman maka kezaliman itu sebenarnya hanya akan menyusahkan diri mereka sendiri.

Hal ini disebut kerana seringkali orang yang menzalimi orang lain berasa puas hati apabila hajat mereka untuk menanayai orang yang mereka musuhi itu tercapai.

Namun demikian al-Quran mengingtkan bahawa perbuatan itu tidak harus melupakan mereka tentang dosa yang akan mereka tanggung dan dipersoalkan dihadapan Allah. Itulah kesusahan yang sebenar dan perlu diberikan perhatian.

Besarnya kesalahan menzalimi orang lain menyebabkan Allah memberikan peringatan dalam ayat di atas tentang lima perkara terhadap orang yang zalim.

Pertama kezaliman itu akan menyusahkan diri mereka sendiri. Kedua jangan mereka mempermainkan ayat Allah yang melarang mereka berbuat kezalliman itu.

Ketiga mereka sepatutnya mengingati ayat Allah yang memberikan pengajaran dan petunjuk. Keempat mereka hendaklah bertaqwa kepada Allah dan kelima ketahuilah bahawa Allah Maha mengetahui apa yang kamu lakukan. Oleh itu tidak ada sesiapa pun yang dapat lari dari hitungan Allah, walaupun di dunia ini, kelicikan kamu menyebabkan kamu terlepas dari mendapat hukuman dan kamu berjaya dalam melakukan kezaliman.

Ahad
4 Rabiulakhir 1440
1 Disember 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *