*TADABBUR WAHYU SIRI 439*

*2.217.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 232*
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لاَ تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلاَّ وُسْعَهَا لاَ تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلاَ مَوْلُودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالاً عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُواْ أَوْلادَكُمْ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُم مَّا آتَيْتُم بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ.

233- Dan para ibu menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

Ayat ini membincangkan beberapa persoalan hukum berkaitan hubungan kekeluargaan. Ayat diatas boleh dibahagikan mengikut pembahagian berikut:
1- “Dan ibu-ibu menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu”.

Para ulama telah berselisih pandangan tentang makna ayat ini. Sebahagiannya menganggap bahawa ayat ini suruhan yang menghadkan penyusuan bayi hanya untuk dua tahun sahaja.

Sementara sebahagain pula menganggap hukum menyusukan bayi lebih dari dua tahun tidaklah haram, tetapi ayat ini hanya menerangkan tentang pengamalan masyarakat di zaman penurunan al-Quran sahaja.

2- “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada)”

Ayat ini menerangkan tentang pasangan yang bercerai dan mempunyai anak yang sedang menyusu. Disebabkan perceraian telah berlaku dan pasangan itu tidak lagi tinggal bersama, ibu kepada bayi yang sedang disusukan adalah bekas isteri lelaki yang dimaksudkan. Dengan itu, menjadi kewajipan kepafanya untuk memberikan nafkah makan dan minum kepada bekas isterinya sehinggalah penyusuan itu tamat.

Hal ini dihukumkan demikian berdasarkan perkiraan anak yand disusukan itu adalah membawa nasab si suami, maka dengan itu sumbangan ibunya yang menyusukan perlu diberikan penghargaan.

Kadar saraan ibu yang menyusukan itu tidak ditentukan kadarnya secara spesifik oleh syarak, tetapi tertakluk kepada keadaan semasa. Pihak mahkamah boleh menentukan kadar yang sesuai berdasarkan taraf hidup pasangan tersebut dengan tidak memberatkan bapa dengan kadar yang terlalu tinggi dan tidak pula memberatkan ibu dengan memberikan nafkah yang terlalu sedikit kadarnya.

Adapun dalam keadaan bapa tidak mampu memberikan tanggungan tersebut kemungkinan disebabkan sakit, dipenjara atau terlalu miskin atau bapa telah mati, maka para waris kepada pihak lelaki itu mestilah mengambil alih tanggungjawb tersebut sehingga hak  anak untuk mendapat susuan yang baik tidak terabai.

3- kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut.

Pasangan yang telah bercerai dianjurkan oleh Islam agar tidak mengabaikan kebajikan anak mereka. Walaupun masing-masing mencari kehidupan baru, tetapi nasib anak tetap menjadi titik pertemuan mereka. Adalah digambarkan disini bagaimana pasangan yang telah berpisah ini masih dianjurkan untuk bermesyuarat dalam hal menentukan apakah anak mereka perlu dipisahkan susu atau diteruskan penyusuan.

Mereka juga boleh, jika saling sepakat untuk memberikan upah kepada ibu susuan dengan syarat langkah itu dipersetujui bersama dan bapa mestilah menanggung bayaran kepada ibu susuan itu mengikut kadar yang diterima oleh masyarakat.

4- Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

Dalam rangkap terakhir, Allah mengingatkan umat Islam agar bertaqwa kepada Allah.

Allah mengingatkan bahawa tingkah laku manusia adalah dibawah perhatianNya belaka.

Dengan itu, seseorang itu mestilah menjalankan urusan mereka berdasarkan keredaan Allah dan janganlah mereka cuba untuk menzalimi mana-mana pihak kerana perbuatan itu hanya akan menyusahkan diri mereka sendiri sahaja.

Isnin
5 Rabiulakhir 1440
2 Disember 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *