*TADABBUR WAHYU SIRI 440*

*2.218.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 233*
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِي أَنفُسِهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
234- Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Biarpun ayat ini kelihatan pendek tetapi Ibnu Asyur telah menerangkannya dengan panjang lebar. Penerangan beliau tentang ayat ini mencapai sembilan mukasurat. Beberapa perbincangan kelihatan diberikan perhatian secara khusus.

Ayat ini membincangkan hukum perempuan yang kematian suami. Pada dasarnya, iddah mereka ialah empat bulan sepuluh hari.

Pada waktu iddah, mereka tidak dibenarkan berkahwin dan sebaik sahaja iddah itu tamat maka mereka dibenarkan untuk berkahwin.

Disebabkan ayat diatas menerangkan secara umum sahaja hukum berkenaan, maka para ulama berijtihad dalam menyelesaikan masalah yang tidak diperincikan oleh nas diatas.

Isu-isu yang ditimbulkan ialah berkenaan iddah hamba yang kematian suami, iddah wanita yang belum bersetubuh dengan suaminya semenjak dikahwini, iddah perempuan mengandung yang kematian suami.

Pada dasarnya terdapat perbezaan pandangan dalam menyelesaikan permasalahan diatas seperti yang telah disebut, ianya disebabkan faktor nas al-Quran yang tidak memperincikan hukum-hukum itu.

Apabila para ulama merujuk kepada hadis, mereka menemui hadis-hadis yang pelbagai dan masing-masing berbeza pendapat tentang setiap hadis-hadis tersebut.

Akhir sekali salah satu sebab penting yang membawa perbezaan pandangan dalam menyelesaikan hukum-hakam diatas ialah perbezaan pandangan ulama dalam menentukan illah atau sebab kepada sesuatu hukum.
Contoh yang mudah untuk diberikan disini ialah perbincangan ulama berkenaan hikmah perbezaan antara iddah mati dan iddah talak.

Persoalan ini timbul bila iddah talak ialah tiga quru’ sementara iddah mati ialah empat bulan sepuluh hari.
Para ulama sepakat untuk mengatakan bahawa pensyariatan iddah adalah bertujuan mengelakkan berlakunya kekeliruan nasab yang diistilahkan oleh mereka dengan “baratu rrahim”. Ia bermaksud sucinya rahim dari nasab suami terdahulu.

Itulah tujuan utama disyariatkan iddah. Ia demi mencapai maqasid penjagaan nasab yang sangat dititik beratkan oleh Islam.

Namun demikian, jika hanya dengan tujuan menjaga nasab maka mengapa pula Allah mensyariatkan iddah kematian suami adalah empat bulan sepuluh hari. Sedangkan jika dilihat dari sudut tujuan, maka tiga quru’ atau haid itu telah mencukupi untuk menunjukkan kepada sucinya rahim permpuan tersebut.

Bagi tujuan memahami hikmah pensyariatan ini sebahagian ulama menganggap iddah wanita kematian suami dipanjangkan adalah untuk menunjukkan rasa kesedihan terhadap kehilangan suami dan tempoh empat bulan sepuluh hari adalah merupakan satu pertiga daripada tempoh iddah zaman jahiliah yang mewajibkan wanita beriddah selama setahun.

Pendirian Ibnu Asyur pula berbeza, beliau tidak menerima ta’lil diatas sebaliknya menganggap panjangnya tempoh iddah wanita kematian suami bukan untuk menunjukkan kesedihan tetapi lebih kepada menegaskan kecuian rahim.

Menurut beliau, hal ini kerana suami telah tiada dan keadaan ini berbeza jika suami masih hidup, sudah tentu sebarang rasa tidak puas hati terhadap situasi isteri boleh diambil tindakan oleh pihak suami.

Adapun orang yang telah mati tidak dapat lagi menjaga hak mereka lalu diberikan tempoh masa yang lebih panjang demi mengelakkan sebarang masalah.

Berdasarkan pandangan inilah Ibnu Asyur menolak pendapat Ibnu Masud dan Ali bin abi Talib yang mengatakan iddah bagi permpuan hamil yang kematian suami ialah iddah yang paling panjang.

Mereka berpandangan demikian kerana mahu memastikan penjagaan nasab dan jika tempoh hamil itu sangat pendek contohnya wanita itu bersalin selepas sehari sahaja daripada kematian suami maka Ibnu Mas’ud berpandangan iddah wanita itu masih ada empat bulan lebih.

Ibnu Asyur menolak pandangan ini berdasarkan hujjah iddah adalah demi menjaga nasab sahaja dan pandangan ini adalah pandangan jumhur ulama.

Oleh itu apabila seseorang wanita melahirkan anak maka tidak ada lagi keraguan terhadap sucinya rahim beliau dan dikala itu iddahnya tamat walaupun suaminya baru sehari meninggal dunia.

Begitulah peranan illah atau mengetahui hikmah pensariatan dalam menganalisa hukum dan ia sangat besar peranannya dalam ijtihad para ulama.

Selasa
6 Rabiulakhir 1440
3 Disember 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *