*TADABBUR WAHYU SIRI 469*

*2.246.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 270*

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَوْ نَذَرْتُم مِّن نَّذْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ.

270- Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

Ayat ini merupakan ayat pengukuhan terhadap perbincangan yang lepas. Ia datang dalam berntuk sokongan bahawa amalan yang dilakukan diketahui oleh Allah.

Ini merujuk kepada sifat Allah yang Maha Mengetahui apa yang zahir dan apa yang tersembunyi.

Samada kamu ikhlas atau tidak, samada kamu menderma dan kemudian melakukan perkara yang membatalkan pahalanya, maka semua itu berada dibawah perhitungan Allah dan Dialah yang akan membalas amalan itu setimpal dengan apa yang telah kamu kerjakan.

Ibnu Asyur menyatakan bahawa pemberitahuan bahawa Allah mengetahui amlan manusia dalam ayat ini lebih bersifat memberitahu keupayaan Allah untuk membalas setiap amalan berdasarkan niat dan keadaannya.

Ini kerana setiap balasan yang setimpal dapat dilakukan hasil daripada pengetahuan terhadap hakikat amal itu dilakukan.

Oleh itu, ayat ini menjadi ayat pengukuhan dalam perbincangan berkaitan dengan amal yang ikhlas dan jauh dari segala perbuatan yang merosakkan amalan.

Seperti biasa walaupun ayat ini bersifat pengulangan terhadap beberapa ayat sebelumnya, namun demikian antara tambahan yang disentuh ialah berkaitan dengan ‘nazar’.

Nazar ialah mewajibkan diri dalam melakukan sesuata amalan yang pada asalnya tidak wajib. Contoh yang dapat diberikan ialah seorang berkata aku bernazar untuk mendermakan hartaku sebanyak RM1000.

Asalnya menderma dengan jumlah itu adalah sunat dan digalakkan, akan tetapi dengan nazar maka amalan itu telah bertukan menjadi wajib kerana mengotakan apa yang dinazarkan adalah wajib.

Nazar yang digalakkan ialah nazar mutlak iaitu bernazar dengan mewajibkan untuk melakukan sesuatu tanpa ada sebarang syarat.

Nazar yang kedua ialah nazar yang dikaitkan dengan sesuatu peristiwa contohnya bernazar untuk menderma jika lulus dalam peperiksaan. Nazar seperti ini dipanggil nazar muallaq. Ia tidak digalakkan kerana seringkali ada yang merasakan dia mendapat sesuatu kerana nazar yang telah dilakukan. Imam Malik meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: sesungguhnya nazar tidak dapat mendahulukan sesatu dan tidak dapat melewatkannya, nazar juga tidak dapat merealisasikan sesuatu yang tidak ditakdirka oleh Allah. Nakzar seperti ini dikeluarkan oleh seorang yang bakhil.

Nazar adalah amalan yang telah dilakukan oleh orang-orang Arab semenjak zaman jahiliyah lagi, bahkan Ibnu Asyur meriwayatkan kisah-kisah dimana amalan anzar telah diamalkan juga oleh umat-umat lain selain Arab.

Perincian hukum-hakam berkaitan nazar boleh dirujuk kedalam kitab-kitab fekah yang telah dikupas oleh pelbaga ulama.

Dalam rangkap terakhir ayat ini, Allah menyatakan:

dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

Menurut Ibnu Asyur, ayat ini merujuk kepada dua keadaan. Pertama: orang-orang yang zalim disini bermaksud orang-orang yang kafir, mereka tidak menderma kerana Allah dan mereka disifatkan sebagai orang yang ingkar terhadap suruhan Allah. Keadaan mereka didunia itu membuatkan tidak ada siapa yang akan dapat membantu mereka ketika mereka berada dihadapan tuhan, ketikamana mereka dihisab dan dihitung segala amalan didunia ini.

Keadaan kedua ialah  orang yang beriman tetapi menderma secara tidak ikhlas, atau melakukan perkara yang membatalkan amalan mereka akan berdepan dengan situasi getir diakhirat apabila amalan itu tidak dapat menjadi penolong mereka. Sedangkan manusia beramal demi mendapat balasan yang baik diakhirat nanti.

Rabu
6 Jamadilawal 1441
1 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *