*TADABBUR WAHYU SIRI 471*

*2.248.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 273*

لِلْفُقَرَاء الَّذِينَ أُحْصِرُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لاَ يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاء مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لاَ يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا وَمَا تُنفِقُواْ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
273- Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

Jika ayat-ayat sebelum ini memberi galakan untuk menderma kepada siapa sahaja, samada muslim atau kepada bukan muslim maka pada kali ini diceritakan dengan panjang lebar sebahagian manusia yang perlu diberikan keutamaan dalam menderma.

Syeikh Wahbah al-Zuhaili  menyatakan bahawa sedekah kepada bukan Islam adalah termasuk dalam ibadah yang dituntut dan diganjari dengan pahala oleh Allah kerana seorang muslim memiliki sifat rahmah dan toleransi melangkawi sempadan agama.

Seorang muslim dilatih untuk mencintai seluruh manusia tanpa mengenal sempadan. Bahkan beliau menyifatkan hal ini dengan suruhan agar muslim berakhlak dengan akhlak Allah. Iaitu merahmati , memberi dan menyayangi semua makhluknya.

Setelah sedekah kepada sasaran yang umum itu diterangkan dengan meluas, kini dijelaskan pula sekumpulan manusia yang perlu diberikan perhatian untuk diberikan kepada mereka sokongan dan dokongan.

Beberapa sifat yang dinyatakan dalam ayat ini berkaitan mereka yang perlu diberikan sokongan dan dokongan, mungkin kerana masyarakat sering lupa dengan derma yang perlu diberikan kepada sasaran seperti dibawah ini:

Pertama: orang yang sedang berada pada jalan Allah. Yang dimaksudkan mereka yang berada pada jalan Allah ini bukanlah semata-mata orang yang sedang berperang seperti yang sering difahami oleh sebahagaian masyarakat.

Tidak dinafikan berperang pada jalan Allah adalah salah satu daripada keadaannya, namun berada pada jalan Allah juga membawa maksud yang lebih luas seperti orang yang menuntut ilmu, menyebarkan ilmu, berdakwah dan apa-apa perbuatan yang membawa kemaslahatan kepada masyarakat.

Kedua: mereka tidak dapat bekerja kerana penumpuan diberikan kepada tugas yang membawa kepada kemaslahatan umum itu. Keadaan ini diakui oleh Allah kerana seorang manusia perlukan kepada sumber kehidupan, seorang yang menyebarkan dakwah untuk  menyebarkan Islam tetapi dengan tugas-tugas itu, dia terpakaksa meninggalkan kerja-kerja mencari rezeki, atau tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerja yang membawa hasil kewangan. Mereka adalah orang yang perlu diberikan sokongan dan bantuan kerana mereka bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja yang membawa kepada kemaslahatan terhadap masyarakat.

Ketiga:mereka yang tidak meminta-minta, perhatian diberikan secara lebih khusus kepada mereka ini kerana masyarakat sering terkesan dengan mereka yang  meminta-minta sahaja. Namun seorang muslim mestilah peka dengan tanggungjawab  membantu dan menyokong usaha-usaha yang mulia. Jika mereka mendapati ada ruang untuk  mereka menyumbang maka itu adalah peluang untuk mereka mendapat sama kebaikan dari usaha yang dilakukan oleh orang lain.
Pengetahuan terhadap mereka mungkin memerlukan kepada usaha seperti kefahaman dan pemikiran. Hal ini kerana seorang muslim melakukan usaha agar mencari natijah yang terbaik dari amalan mereka.

Tiga sifat ini sebenarnya merupakan ringkasan dari lima ciri yang telah dinyatakan oleh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam tafsir beliau al-Munir.

Jumaat
8 Jamadilawal 1441
3 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *