*TADABBUR WAHYU SIRI 472*

*2.249.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 274*

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ.

274- Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Maksud menderma malam dan siang ialah merujuk kepada banyak menderma. Ia bukan bermaksud menggalakkan menderma pada waktu-waktu tertentu dalam sehari samada siang atau malam.

Mereka yang banyak menderma samada terang-terangan atau dengan tersembunyi, maka mereka berhak mendapat balasan dari Allah.

Mengikut Ibnu Asyur ayat ini membawa pembaca kepada tuntutan sedekah yang umum, samada kepada jalan Allah yang berbentuk kepentingan umum, penyebaran dakwah dan apa sahaja keperluan masyarakat, atau sedekah kepada orang-orang yang susah dan melarat secara langsung.

Kedua-dua jenis derma itu menjadi tuntutan dalam Islam. Kedua-duanya adalah amal soleh yang dikurniakan dengan ganjaran yang besar.

Mengikut Ibnu Asyur lagi, maksud “mereka mendapat ganjaran dari tuhan mereka” adalah isyarat kepada mereka yang menderma akan mendapat pahala dan balasan di hari akhirat.

Sementara maksud “mereka tidak akan takut dan tidak akan sedih” adalah isyarat kepada keadaan orang yang menderma, disayangi oleh mereka yang dibantu dengan itu mereka tidak takut dari disakiti oleh orang-orang susah yang jika diabaikan akan melakukan berbagai perbuatan demi memenuhi keperluan asasi mereka.

Secara kesimpulannya, ayat ini boleh sahaja difahami dengan masud, orang yang menderma tidak akan merasa takut tentang nasib mereka walaupun mereka telah membelanjakan harta bukan kepada diri mereka sendiri.

Ini kerana orang beriman sangat yakin bahawa harta yang mereka berikan sebagai derma akan dibalas oleh Allah dengan keberkatan dindunia dan pahala di hari akhirat.

Dengan keyakinan seperti itu mereka tidak akan berasa sedih dan mereka juga tidak akan berasa rungsing .

Dalam masa yang sama orang-orang yang mencintai dunia enggan memberi dan menderma dan dengan itu mereka akan terus terpenjara dengan kecintaan kepada dunia, rasa takut kehilangan rezeki akan menerpa kerana mereka tidak meletakkan Allah sebagai tempat bergantung.

Hal ini dapat dihubungkan dengan tujuan disyariatkan derma.  Derma disyariatkan demi menyucikan hati dan jiwa orang yang beriman agar tidak terlalu meletakkan harta sebagai pujaan dan sanjungan mereka.

Bahkan, harta dalam hidup orang beriman adalah jalan untuk mencari keredaan Allah dan mendapat kelebihan dibhari akhirat. Oleh itu mereka sanggup mengeluar dan mendermakannya dengan rasa yang gembira.

Tuntutan menderma yang dianjurkan oleh ayat-ayat dalam perenggan ini jelas sekali mengisyaratkan kepada derma yang bersifat individu dan derma yang ditujukan kepada pihak pengurusan yang menjalankan kerja-kerja kebaik untuk umum.

Tuntutan derma ini telah mengambil ruang yang besar dalam surah al-baqarah lantaran kepentingan dan peranannya yang begitu ketara. Sehingga ia menjadi salah satu daripada tuntutan agama yang terpenting.

Amir Syakib Arsalan telah ditanya mengapa umat Islam mundur sedangkan umat-umat lain telah maju. Soalan yang diajukan kepada beliau telah dijawab dengan beliau menulis sebuah buku.

Antara jawapan yang diberikan ialah kerana tersebarnya sifat bakhil dalam masyarakat umat Islam. Ramai orang Islam yang enggan menginfakkan harta mereka dalam perkara yang membawa kepada kemaslahatan masyarakat dan membangunkannya.

Dalam masa yang sama ramai umat Islam yang tidak teragak-agak untuk membelanjakan harta yang banyak untuk perkara-perkara yang melibatkan perhiasan, hiburan dan memuaskan nafsu.

Sabtu
9 Jamadilawal 1441
4 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *