*TADABBUR WAHYU SIRI 473*

*2.250.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 275*

ٱلَّذِينَ يَأۡكُلُونَ ٱلرِّبَوٰاْ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِي يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡبَيۡعُ مِثۡلُ ٱلرِّبَوٰاْۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ فَمَن جَآءَهُۥ مَوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّهِۦ فَٱنتَهَىٰ فَلَهُۥ مَا سَلَفَ وَأَمۡرُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِۖ وَمَنۡ عَادَ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ.

275- Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Ayat-ayat yang sebelum ini telah menerangkan asas maqasid dalam harta dengan menekankan suruhan mencari keredaan Allah dengan menggunakan harta. Itulah setinggi-tinggi maqasid atau tujuan harta.

Yang demikian itu dengan memberikan sebahagian daripada rezeki yang diberikan oleh Allah untuk dikongsikan dengan orang lain.

Adapun memberi pada jalan Allah demi mencapai kemaslahatan masyarakat maka ia adalah salah satu daripada jalan kebaikan dan amal soleh yang dituntut.

Dan ia adalah sebahagian daripada pihak yang berhak untuk menerima bantuan dan pertolongan. Bukankah Islam agama yang menyeru kepada bertolong-tolongan dalam kebaikan dan bertolong-tolongan dalam kesabaran.

Suruhan ini menerangkan sifat Islam yang sentiasa menggalakkan manusia agar melakukan kebaikan kepada orang lain, tidak kira siapa sahaja mereka itu. Samada mereka adalah sesama akidah atau tidak, sesama keturunan atau berlainan.
Apa yang penting adalah kebaikan sesama insan.

Setelah semua itu dijelaskan dengan panjang lebar, maka kali ini dijelaskan pula sifat yang bertentangan pula. Ia adalah sifat keji yang bertindak menjana  keuntungan daripada kelemahan orang lain dengan jalan penindasan.

Sekali lagi pensyariatan larangan ini menjelmakan ajaran Islam yang mahukan kebaikan dan kemaslahatan kepada seluruh umat manusia.

Amalan riba sangat terkenal dalam zaman jahiliah, ia diamalkan oleh orang Arab dan orang Yahudi secara meluas. Dengan itu Rasulullah saw sewaktu menerangkan tentang pengharaman riba telah bersabda dalam khutbah haji terakhir baginda (hajjatul wada) bermaksud ketahuilah bahawa riba jahiliayah telah dibatalkan dan riba pertama yang aku larang ialah riba bapa saudaraku riba Abbas bin Abdul Muttalib.

Mengikut Ibnu Asyur, pengharaman riba yang diikuti dengan janji mendiami neraka dan dibangkitkan dengan hina ini adalah ditujukan kepayorang-orang kafir. Menurut beliau balasan sebegini tidak disediakan kepada orang-orang beriman yang berdosa. Walaupun begitu riba sememangnya haram dan telahpun diharamkan sebelum turunnya ayat ini mengikut pandangan beliau.

Apabila disebut “Mereka yang makan riba” dalam ayat diatas bukan sahaja  bermaksud makan secara fizikal, namun demikian orang-orang yang dimurkai Allah adalah seluruh manusia yang telibat dengan kesalaan ini.

Larangan memakan riba sering kali disalah fahami oleh sebahagian umat islam lalu mereka menganggap kesalahan dalam perkara yang melibatkan rezeki adalah dengan memakan.

Sebenarnya larangan memakan disini adalah merangkumi seluruh aspek penggunaan terhadap harta tersebut.

Walaupun ayat ini tidak terlalu panjang, tetapi Ibnu Asyur telah memperuntukkan ruang yang luas untuk menerangkannya. Lebih 10 halaman kitab beliau dikhususkan untuk mengupas ayat ini.

Ahad
10 Jamadilawal 1441
5 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *