*TADABBUR WAHYU SIRI 474*

*2.251.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 276-277*

يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ وَاللَّهُ لاَ يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ
276- Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Ayat lepas telah memberi ancaman kepada orang yang memakan riba akan bangkit pada hari kiamat dalam keadaan yang buruk.

Kali ini ancaman kepada pemakan riba ialah hartanya akan susut. Mengikut Ibnu Asyur, dimaksukan dengn harta itu akan susut ialah harta itu tidak akan membuahkan kabaikan dan pahala di akhirat.

Hal ini adalah berlawanan dengan keadaan harta orang yang menderma, harta mereka melahirkan keberkatan, kebaikan dan pahala yang berganda-ganda.

Adapun secara fizikal, di dunia ini mereka yang mengamalkan riba boleh sahaja menjadi kaya raya. Namun kekayaan yang sebenar ialah apabila Maqasid atau objektif daripada harta tercapai. Iaitu membanyakkan amalan yang seterusnya menghasilkan pahala yang banyak.

Rangkap kedua dalam ayat ini:

Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Ayat ini tidak bermaksud sama sekali orang yang makan riba telah kufur kepada Allah dalam erti kata mereka terkeluar dari ajaran Islam.

Ibnu Asyur menyatakan bahawa ayat ini menerangkan keadaan orang kafir dan seperti biasa menjadi adat al-Quran menerangkan keadaan kejahatan dilakukan oleh orang kafir. Berkaitan ayat ini,  riba adalah amalan mereka. Merekalah yang menghalalkan riba sedangkan umat Islam tidak akan menghalalkannya. Walaupun ada dikalangan umat Islam orang yang terpengaruh dengan mereka dan mengamalkan riba. Tetapi perbuatan yang maksiat tidak membuatkan seseorang terkeluar daripada ajaran Islam.

Prinsip ini bertentangan dengan kumpulan Khawarij yang menghukumkan pelaku maksiat sebagai terkeluar dari Islam. Kekeliruan ini timbul kerana mereka memahami ayat al-Quran seperti di atas secara zahir tanpa melakukan analisis yang mendalam.

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ لَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ

277- Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Sekali imbas ayat ini kelihatan terkeluar tajuk kerana tiba-tiba membincangkan berkaitan orang beriman mendirikan solat dan mengeluarkan zakat.

Namun demikian ayat ini sebenarnya sebahagian daripada perbincangan di atas kerana ia menerangkan sifat orang beriman yang melakukan ibadah dan ketundukan kepada Allah.

Samada ketundukan itu dalam hal berkaitan dengan apa yang dinamakan ibadah dan juga ketundukan dalam bidang harta. Oleh itu dua amalan umat  Islam disebut disini, pertama solat dan kedua zakat.

Hal ini bertentangan dengan orang-orang yang kufur kerana mereka telah menghalalkan riba sedangkan riba adalah muamalat yang diharamkan oleh Allah.

Terdapat kata-kata Saidina Umar yang dianggap oleh sebahagian pentafsir sebagai bukti yang menunjukkan bahawa isu-isu riba tidak diterangkan dengan jelas oleh hadis nabi.

Namun demikian Ibnu Asyur menolak pandangan ini dengan membawa  pandangan Ibnu al-Arabi yang  menyatakan terdapat 56 hadis yang menerangkn hukum-hakam berkaitan riba.

Selasa
12 Jamadilawal 1441
7 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *