*TADABBUR WAHYU SIRI 476*

*2.253.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 280-281*
وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ.

280- Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

Dikatakan bahawa ayat ini merupakan reaksi daripada resam jahiliah yang mana menjadikan orang yang tidak mampu membayar hutang sebagai hamba.

Dengan itu, pembaharuan yang dibawa oleh ajaran nabi Muhammad saw ialah memberikan ruang kepada mereka yang tidak mampu untuk mencari masa yang sesuai sehingga mereka dapat membayar balik hutang tersebut.

Dikatakan juga bahawa adat menjadikan mereka yang tidak mampu  membayar hutang sebagai hamba telah diamalkan di zaman tamadun Mesir dan Yunan purba lagi.

Dalam ayat diatas, Allah meminta pemilik harta agar memberikan masa tangguhan kepada peminjam yang tidak mampu membayar hutang mereka.

Namun demikian para ulama berbeza pandangan samada permintaan itu bersifat sunat atau wajib..Ibnu Asyur menukilkan bahawa imam Malik dan jumhur ulama mengatakan suruhan itu adalah pada kadar sunat sahaja. 

Hujah mereka ialah ayat ini menyuruh perkara yang berkaitan dengan amalan yang dikategorikan sebagai ma’ruf dan amalan pada tahap ini tidak wajib. Seperti galakan untuk menderma adalah sunat berbanding dengan suruhan agar dikeluarkan zakat dimana hukumnya wajib.

Selain itu, ayat ini menggalakkan agar membantu mereka yang tidak mampu adalah lebih baik, memberikan sedekah kepada mereka adalah lebih baik bagi kamu berbanding dengan kamu mengenakan kepada mereka riba yang berganda bayarannya. Ia lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui bagaimana besarnya balasan pemberian kamu itu disisi Allah.

Melalui ayat-ayat riba yang diterangkan dalam perenggan ini, jelas sekali al-Quran menerangkan salah satu daripada situasi yang ada dalam muamalat manusia.

Ketika mana berlakunya pihak yang berhutang adalah orang yang memerlukan dan mereka berdepan dengan keperluan yang mendesak.

Setelah berlakunya peredaran zaman, berlakunya situasi masyarakat yang mana hutang dilakukan bukan sahaja oleh mereka yang benar-benar terdesak. Akan tetapi hutang telah menjadi satu cara hidup manusia moden. Ada yang mahu membeli perkara-perkara mewah dengan cara berhutang dan ada pula yang menjadikan hutang sebagai satu cara mereka membuat keuntungan dengan melaburkan kembali hutang itu ditempat-tempat yang membawa pulangan keuntungan lebih besar

Ayat-ayat berkaitan dengan riba dalam perenggan ini telah menekankan salah-satu daripada situasi hutang iaitu dari mereka yang tidak mampu.

Ayat-ayat ini juga memberi penekanan supaya umat Islam tidak mengabaikan pihak yang kurang berkemampuan ini. Selain daripada riba tidak dibenarkan, al-Quran juga menggalakkan agar mereka diberikan keluasan dan keringanan.

Dengan itu pengharaman riba jika dilihat dari perbincangan ayat-ayat diatas bukan sekadar mahu memerangi cara perlaksanaan akad riba semata-mata akan tetapi mahu membawa satu situasi lebih mesra dimana pihak yang tidak mampu diberikan pembelaan.

Hal ini memberikan cabaran kepada pihak-pihak yang berkenaan agar mengeluarkan produk-produk kewangan Islam yang menerkankan juga unsur memberikan keringanan kepada pihak yang lemah dan tidak melihat daripada sudut mengislamkan cara transaksi dilakukan semata-mata.

Melalui pengalaman penulis seringkali kedengaran rungutan masyarakat apabila mereka merasakan tidak ada perbezaan dalam produk kewangan Islam dari sudut bebanan hutang yang ditanggung, apa yang berbeza lebih kepada teknikal kontrak yang dilakukan.

وَاتَّقُواْ يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ
281- Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

Mengabaikan golongan yang miskin dan memerlukan adalah satu yang tidak boleh dipandang ringan.

Menggunakan harta untuk mencari kemuliaan disisi Allah adalah salah satu jalan dan peluang yang diberikan oleh Allah kepada sebahagian hambanya. Keengganan memberikan harta pada jalan Allah memberikan gambaran kebergantungan diri kepada dunia yang fana sedangkan ganjaran di sisi Allah itulah yang kekal abadi.

Menurut Ibnu Asyur, jumhur ulama berpandangan bahawa ayat ini adalah ayat yang terakhir diturunkan oleh Allah sebelum Baginda saw wafat.

Pandangan ini disandarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Namun demikian para ulama berbeza pendapat tentang jarak masa turunnya ayat ini dengan kewafatan nabi saw.

Khamis
13 Jamadilawal 1441
9 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *