*TADABBUR WAHYU SIRI 480*

*2.253.4 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 282*

”Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Setelah menerangkan gesaan syarak dalam beberapa perkara, kini dijelaskan pula maqasid atau tujuan gesaan-gesaan itu dianjurkan oleh Allah.

Ia adalah tidak lain dan tidak bukan hanya untuk membawa kemaslahatan kepada manusia. Iaitu dengan mengatur kehidupan mereka.

Kewujudan saksi adalah penting untuk mewujudkan asas pembuktian yang kukuh dan dipercayai. Dengan itu saksi itu sendiri mestilah dari kalangan orang yang boleh dipercayai, jika tidak maka kewujudan saksi itu seolah-olah tidak mencapai tujuan sebenar ianya dianjurkan.

Mencapai keadilan adalah objektif tertinggi yang mahu diambil oleh syarak, para ulama yang cuba menerapkan maqasid ini akan membuat ijtihad yang bersesuaian dengan zaman mereka hidup demi mencapai tujuan keadilan dalam kerangka masyaraakat mereka.

Seperti perbincangan mengenai kewajaran dua orang saksi jika kedua-dua adalah wanita. Sedangkan perbezaan antara lelaki dan wanita dalam isu ini  mungkin sudah tidak lagi wujud.

Dr Wahbah al-Zuhaili walaupun menerima hakikat bahawa illah sebenar perbezaan antara saksi lelaki dan wanita berpaksikan kepada tahap kepercayaan kepada  maklumat yang mereka sebut.

Al-quran kemudiannya menyebut pengecualian daripada gesaan menyediakan saksi jika sekiranya transaksi yang dilakukan adalah secara tunai. Mengikut wahbah al-zuaili keadaan ini adalah disebabkan situasi zaman dahulu yang agak sukar untuk mencari mereka yang pandai menulis dan jika diwajibkan kepada setiap transaksi muamalat sudah tentu ianya akan membawa kepada kesusahan.

Namun demikian pada hari ini, transaksi seluruhnya telah dikemukakan dengan bukti yang berbentuk bertulis iaitu resit bayaran.

Hal ini dilihat merupakan amalan yang bersesuaian dengan Islam dari sudut asasnya. Iaitu mengelakkan pertikaian dan menjadi bahan bukti ketika berlaku sebarang masalah.

Dalam ayat ini, al-Quran juga telah menyebut satu lagi perinsip penting dalam muamalat dan perundangan Islam. Iaitu saksi adalah tidak menanggung sebarang liabiliti. Ini kerana saksi adalah pihak yang terlibat dengan pembuktian semata-mata. Mereka tidak mempunyai sebarang kemaslahatan terhadap isu yang sedang dalam pertikaian itu. Menjadikan saksi sebagai salah satu pihak yang berkepentingan dalam sesuatu adalah satu kesalahan yang besar.

Isnin
17 Jamadilawal 1441
13 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *