*TADABBUR WAHYU SIRI 481*

*2.254.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 283*

وَإِن كُنتُمْ عَلَى سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُواْ كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُم بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلاَ تَكْتُمُواْ الشَّهَادَةَ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ.

283- Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Berikutan ayat ini mengaitkan amalan gadaian dengan mereka yang berada dalam permusafiran, maka para ulama berbeza pandangan tentang hukum gadaian.

Sebahagian kecil dari kalangan mereka berpendapat bahawa gadaian hanya diharuskan bagi mereka yang berada dalam musafir.

Namun demikian mejoriti ulama berpandangan bahawa hukum gadaian adalah harus kepada semua oran Islam samada ketika dalam keadaan musafir atau tidak. Bagi mereka keadaan musafir bukannya menjadi syarat kepada diharuskan gadaian.

Ayat ini sebenarnya menyebut sebahagain daripad objektif gadaian iaitu menjadi jaminan kepada hutang semasa berada dalam permusafiran. Untuk memahami hal ini perlu dikaitkan dengan keadaan zaman dahulu yang mana menulis hutang adalah sangat sukar. Ini kerana orang yang pandai menulis adalah sangat sedikit.

Untuk mengelakkan kesukaran itu, maka salah satu tindakan yang boleh dilakukan ialah dengan memberikan hutang dengan disertakan gadaian kerana dalam keadaan itu, barang yang digadai itu menjadi jaminan kepada hutang yang diambil.

Dalam ertikata lain, jika pemiutang gagal membayar hutang seperti yang dijanjikan maka pemberi hutang berhak mengambil barang gadaian sebagai melunaskan hutang yang tidak mampu dibayar itu.

Bukan sahaja pemiutang yang digesa untuk membayar hutang mereka, akan tetapi pihak yang memegang barang gadaian itu juga digesa agar memberikan kembali barang gadaian yang dipegang oleh  mereka.

Ini kerana amanah adalah salah satu daripada akhlak yang penting dan ditekankan dalam Islam. Bagi menegaskan tuntutan itu, gesaan yang disebut selepas itu ialah gesaan untuk bertaqwa. Kerana amanah adalah lahir daripada hati yang bertaqwa.

Isu seterusnya yang disebut dalam ayat ini ialah gesaan agar seorang muslim tidak menyembunyikan penyaksian.

Ini kerana sering kali orang yang mengetahui sesuatu perkara dan berada pada posisi saksi tidak mahu terlibat dan tidak sanggup menjadi saksi dalam pertikaian.

Ini kerana mereka lebih rela sesuatu pertikaian itu dihindari daripada mereka kerana mereka tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam isu yang dihadapi.

Sedangkan tindakan demikian boleh membawa masaalah kepada pihak yang berkonflik dan kebenaran tidak dapat ditegakkan kerana saksi yang ada tindak sanggup untuk tampil memberikan maklumat.

Jelas sekali tugas yang dipikul oleh saksi adalah tugas terhadap masyarakat dan ia harus diberikan kesedaran agar terus dikembangkan kerana ia boleh menegakkan kebenaran dan membasmi keburukan dan kezaliman.

Sikap tidak mahu mencampuri urusan orang lain dalam keadaan ini adalah buruk dan tidak boleh diamalkan.

Walaupun mereka yang menyembunyikan penyaksian mungkin merasa beruntung kerana berjaya dari melakukan tanggangjawab itu, akan tetapi tuhan memeberitahu bahawa Dia amat mengetahui tentang apa yang dilakukan oleh manusia. Maka dengan itu semua itu tidak dapat lari dari perhitungan Allah.

Selasa
18 Jamadilawal 1441
14 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *