*TADABBUR WAHYU SIRI 482*

*2.255.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 284*

لِّلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَإِن تُبْدُواْ مَا فِي أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللَّهُ فَيَغْفِرُ لِمَن يَشَاء وَيُعَذِّبُ مَن يَشَاء وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
284- Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu menzahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya, Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Bermula dengan ayat ini sehinggalah akhir surah al-Baqarah, topik perbincangan berkaitan dengan harta telah dihentikan.

Sebaliknya beberapa prinsip dalam Islam telah diketengahkan sekali gus tiga ayat terakhir ini menjadi penutup dan kesimpulan kepada keseluruhan surah al-Baqarah.

Diketengahkan adalam ayat ini keadaan manusia yang akan dihisab oleh Allah. Samada dalam perkara terang atau tersembunyi.

Hal itu tidak menjadi sebarang halangan untuk Allah menghitungnya, kerana dia Maha Mengetahui setiap yang terang dan yang tersembunyi.

Bahkan dari awal ayat ini lagi, dijelaskan bahawa seluruh alam ini adalah milik Allah. Penjelasan ini menjadi permulaan kepada penerangan tentang hisab amal baik dan buruk.

Jika alam ini milik Allah sudah tentu dia Maha Mengetahui tentang segala apa yang berlaku. Oleh itu urusan hisab manusia tidak menjadi masalah dan halangan bagi Allah.

Hisab dan perhitungan amal manusia pula akan berakhir dengan satu natijah yang sangat penting bagi diri manusia iaitu sama dia berhak mendapat nikmat Allah yang abadi atau dia akan menerima nasib malang yang berupa azab siksaan neraka yang sangat pedih.

Begitulah berakhirnya hidup manusia dan persoalan amalan di dunia ini samada kebahagiaan yang hakiki atau kesengsaraan yang hakiki.

Nikmat dan azab yang di terima oleh manusia itu pula telah dihubungkan dengan kehendak Allah, seperti mana setiap perkara besar yang lain, yang berlaku kepada manusia dihubungkan kepada kekuasaan dan kehendak Allah.

Rezeki manusia adalah pemberian Allah, ilmu yang diperolehi oleh manusia juga adalah milik Allah dan iman serta kufur juga adalah dalam ilmu dan kehendak Allah.

Namun demikian, hal ini tidak bermakna manusia tidak dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berlaku. Manusia tetap bertanggungjawab dan memikul hasil yang didapati kerana apabila Allah menghubungkan sesuatu pemberian itu dengan kehendaknya, Allah tetap menyuruh manusia berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan perkara tersebut.

Jika rezeki yang berupa pemberian Allah perlu kepada usaha dan tadbir dari manusia maka ilmu, iman dan syurga serta neraka juga adalah hasil daripada tindak balas usaha manusia yang telah diberikkan oleh Allah kepada mereka.

Oleh itu Allah tidak menzalimi manusia sebaliknya manusialah yang menzalimi dirinya sendiri.

Firman Allah bermaksud:
Dan jika kamu menzahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.

Zahir ayat ini kelihatan bertentangan dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud:  Sesiapa yang mahu melakukan keburukan tetapi tidak melakukannya maka ditulis untuknya satu pahala.

Pada hakikatnya ayat diatas dan hadis yang dinyatkan tidak bertentangan. Mengikut Ibnu Asyur, dua orang ulama terkenal iaitu al-Maruzi dan al-Qadi Iyadh telah mengulas dengan baik hubungan antara ayat dan hadis diatas ketika mereka berdua mengupas sahih muslim.

Mereka berpandangan bahawa lintasan hati dan fikiran tidak dihitung oleh Allah sedikit pun kerana ia terkeluar daripada kawalan manusia. Adapun yang menjadi perbincangan ialah yang berkaitan dengan kepercayaan atau satu keazaman yang telah ditekadkan dalam hati seseorang. Jika sekiranya ia dalam bentuk kepercayaan dan keazaman yang telah diperteguhkan dan bersangkutan dengan sesuatu kepercayaan maka ia dihitung oleh Allah sebagai satu kebaikan atau keburukan. Seperti keimanan kepada Allah merupakan amal hati yang besar ganjarannya sementara kepercayaan kepada syirik adalah amalan hati yang sangat besar dosanya. Namun demikian disana adanya amalan yang tertakluk kepada tindakan pada anggota, maka dalam kategori ini sesuatu keinginan dan tekad tidak dikira sehinggalah amalan yang diqasadkan itu dilakukan oleh manusia seperti mereka yang bertekad untuk melakukan maksiat tidak akan dianggap bersalah sehinggalah mereka benar-benar melakukan perbuatan tersebut.

Kesimpulannya, surah al-Baqarah mengandungi pelbagai perbincangan merangkumi isu-isu berkaitan amalan hati dan amalan anggota.

Perbincangan surah al-Baqarah meliputi isu-isu individu, keluarga dan masyarakat. Ia merangkumi persoalan ibdah dan kehidupan. Kesemuanya itu akan dihitung oleh Allah dan diberikan ganjaran samada baik atau buruk.

Rabu
19 Jamadilawal 1441
15 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *