*TADABBUR WAHYU SIRI 483*

*2.256.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 285*

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لاَ نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ وَقَالُواْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ.

285- Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

Setelah berlalu dalam surah al-Baqarah berbagai suruhan dan larangan, juga berlalunya berbagai kisah tentang umat terdahulu samada mereka yang menyahut seruan iman atau menolaknya, maka dijelaskan disini bahawa Rasulullah saw dan orang-orang yang beriman telah mempercayai dengan apa yang dibawa oleh Allah.

Keimanan mereka adalah keimanan yang sebenar kerana ia membuahkan amal. Mereka beriman kepada semua perkhabaran dari Allah samada berkenaan dengan keesaan Nya, malaikat, kitab-kitab dan rasul-rasul.

Keimanan Rasulullah saw dan para mukminin adalah keimanan yang sebenar kerana mereka tidak membeza-bezakan antara Rasul.

Bagaimana pula mereka mahu membezakannya kerana semua rasul-rasul itu adalah utusan Allah. Seseorang yang menolak perkhabaran dari Allah maka dia bukan sahaja menolak utusan Allah tapi sebenarnya dia  tidak beriman kepada Allah itu sendiri.

Hakikat ini telah berlaku kepada sebahagian manusia, contohnya seperti yang telah berlaku kepada Bani Israel yang telah membezakan para nabi. Walaupun berita tentang nabi itu datang dari nabi-nabi yang mereka percayai sendiri.

Sikap seperti ini telah membuktikan kepada dunia hakikat kepercayaan mereka yanag tidak sebenar kepada Rasul dan nabi mereka.

Keimanan Rasulullah saw dan para umat Islam adalah keimanan yang sebenar kerana keimanan itu telah mampu menggerakkan mereka untuk patuh dan taat kepada Allah.

Kepatuhan dan ketaatan itu digambarkan dalam kata-kata ” kami dengar dan  kami patuh, pengampunanmu ya Allah”

Kata-kata yang ringkas ini memberi gambaran yang luas tentang personaliti yang sepatutnya dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Gambaran sebaliknya boleh dilihat melalui kata-kata kaum Bani Israel yang dijelaskan oleh Allah ketika mereka berkata di depan nabi mereka “kami dengar tetapi kami engkar”.

Seorang mukmin adalah mereka yang mengikutkan keimanan dengan amalan dan mengikutkan setiap pengiktirafan dengan ketundukan. Itulah yang dimaksudkan oleh Ibnu Asyur bahawa ayat ini merupakan pujian kepada Rasulullah saw dan para orang beriman.

Ia menjadi pujian kerana mereka bukan sahaja beriman dengan hati dan mengakui dengan lisan, akan tetapi keimanan Rasulullah saw serta orang yang beriman melangkaui sempadan pengakui sehingga memenuhi tuntutan amalan dan perlaksanaan . Dan itulah kekuatan Islam yang sebenar, Islam yang mampu dipraktikkan dalam kehidupan dan meresap dalam diri samada dari sudut pemikiran, kejiwaan dan tingkah-laku. Ketika bersendirian atau terang-terangan, dalam kehidupan individu, keluarga atau masyarakat.

Khamis
20 Jamadilawal 1441
16 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *