**TADABBUR WAHYU SIRI 492**

**3.4.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 4**

مِن قَبْلُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَأَنزَلَ الْفُرْقَانَ إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ بِآيَاتِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَاللَّهُ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ

4.Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga yang menurunkan al-Furqan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

Penerangan ayat di atas boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama boleh diterangkan sedikit tentang perbincangan teknikal ayat. Ayat ini di mulakan dengan perkataan “min qablu” bermaksud sebelumnya. Dari sudut makna ia adalah sebahagian daripada ayat sebelum ini.
Namun demikian Imam Hamzah al-Kufi yang merupakan imam ikutan bagi al-Quran yang kita baca dan digunakan di Malaysia meriwayatkan bahawa lafaz min qablu terletak pada ayat 4 dan bukannya pada ayat tiga.

Hal ini agak menarik kerana permulaan ayat keempat dilihat tergantung dan memerlukan takwilan yang menghubungkan dengan ayat sebelumnya.

Terdapat juga imam qiraat yang memasukkan  perkataan “min qablu pada ayat 3”.

Mungkin disebabkan ilmu fawasil merupakan ilmu yang agak terperinci dan memerlukan kepada pengetahuan mendalam terhadap bidang penulisan al-Quran, maka kebanyakan ulama tafsir tidak menyentuh persoalan ini dalam tafsir mereka.

Dari sudut makna ayat pula, al-Quran, Taurat atau Injil, semuanya diturunkan oleh Allah untuk memberi petunjuk kepada manusia di zaman yang berasingan.

Namun demikian Ibnu Asyur berpandangan yang dimaksudkan dengan Allah menurunkan “furqan” bermaksud suatu yang membezakan, merujuk kepada Al-Quran.

Ini kerana dalam ini ayat ini mahu menunjukkan bawa kitab-kitab yang telah diturunkan kepada nabi-nabi sebelum nabi Muhammad saw telah dimansuhkan.

Bagi menjelaskan keadaan ini Ibnu Asyur membincangkan dengan ringkas kaedah usul fiqh yang berbunyi “syariat umat yang terdahulu adalah syariat untuk kita”.

Kaedah ini pada pandangan beliau hanya terpakai kepada syariat umat terdahulu yang disebut dalam al-Quran sahaja.

Adapun syariat umat  terdahulu yang disebut dalam kitab-kitab mereka tetapi tidak disebut dalam al-Quran maka syariat itu tidak terpakai kepada umat nabi Muhammad saw.

Dengan itu, rujukan asas umat nabi Muhammad saw adalah al-Quran dan bukannya kitab Taurat atau Injil. Walaupun kitab-kitab itu dari Allah, akan tetapi ia telah dimansuhkan dengan turunnya al-Quran.

Keadaan kitab-kitab tersebut yang telah mengalami pindaan disepanjang zaman menyebabkan ia semakin tidak boleh dijadikan sebagai rujukan dan sumber.

Sabtu
29 Jamadilawal 1441
25 Januari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *