**TADABBUR WAHYU SIRI 494**

**3.6.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 7**
هُوَ الَّذِيَ أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاء الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاء تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ.
7-Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Ayat ini boleh dibahagikan kepada tiga rangkap, pertama terdiri daripada perbincangan berkaitan ayat muhkamat dan ayat mutasyabihat.

“Dia lah yang menurunkan kepadamu Kitab Suci Al-Quran. Sebahagiannya ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya).

Pada permulaan ayat ini Allah menjelaskan bahawa al-Quran ini adalah kitab Allah dan Dialah yang menurunkannya. Kata-kata ini sebenarnya bertujuan menolak dakwaan mereka yang menuduh dan menafikan al-Quran sebagai wahyu Allah kepada Rasulnya. Kaum mushrikin Mekah menuduh bahawa al-Quran adalah dari kata-kata manusia sahaja.

Mereka juga menuduh bahawa al-Quran ini dari ayat-ayat yang disampaikan oleh syaitan. Dengan itu mereka menuduh nabi Muhammad sebagai seorang ahli sihir dan ada juga yang menuduh Baginda sebagai penyair.

Setelah berlaku segala tuduhan itu, Allah menegaskan disini bahawa dialah yang menurunkan al-Quran sebenarnya, bukan seperti tuduhan yang dilakukan oleh mereka yang tidak beriman itu.

Dalam rangkap ini juga dijelaskan bahawa ayat al-Quran terbahagai kepada dua jenis. Pertama ayat Muhkamat dan kedua ayat Mutasyabihat.

Seterusnya dijelaskan bahawa  ayat Muhkamat merupakan asas kepada ayat-ayat al-Quran dan ayat Mutasyabihat merupakan cabang dan pecahan daripada ayat muhkamat.

Sehingga kini maklumat ini disepakti oleh para ahli tafsir. Namun demikian para ulama berbeza pandangan dalam menentukan apakah yang dimaksudkan dengan ayat muhkamat dan apakah pula ayat mutasyabihat.

Penerangan yang diajukan oleh Ibnu Asyur kelihatan terlalu terperinci sehingga beliau membahagikan ayat mutasyabihat kepada 10 jenis. Penerangan beliau mencapai 8 mukasurat.

Sementara Dr Wahbah Al-Zuhaili cuba meringkaskan perbincangan dan beliau memberikan takrif ringkas tetapi padat.

Muhkam menurut beliau ialah ayat-ayat yang jelas dan tidak ada kekeliruan dalam memahaminya.

Mutasyabih pula merupakan ayat-ayat yang kabur maknanya disebabkan oleh makna zahir ayat berbeza dengan kontak ayat atau maknanya dianggap tidak difahami langsung dan tersimpan hahikatnya dalam ilmu Allah Yang Maha Luas.

Contoh ayat muhkam seperti yang dikemukakan oleh Dr Wahbah al-Zuhaili ialah ayat
وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانً
Maksudnya: Tuhanmu telah menetapkan janganlah kamu menyembah kecuali dia dan berlaku ihsanlah kepada kedua ibu bapa.
surah al-Isra’:23

Suruhan menyembah Allah dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah suruhan yang sangat jelas dan tidak ada sebarang keraguan.

Contoh ayat mutasyabihat pula ialah antaranya ayat:
إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَىٰ إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا

Maksudnya:
Ketika Allah berfirman, wahai Isa, aku mematikan ni dan mengangkatmu kepadaku dan menyucikan nu Dari orang-orang yang kufur
Surah ‘Ali Imran:55

Makna memati, mengangkat dan menyucikan dalam ayat diatas adalah kabur antara makna hakiki atau makna kiasan.

Namun demikian perlu diingatkan bahawa al-Quran menggunakan juga perkataan muhkam dalam maksud menerangkan bahawa ayat al-Quran kitab yang benar dan tidak ada sebarang kesalahan didalamnya.
Firman Allah:
كِتَٰبٌ أُحۡكِمَتۡ ءَايَٰتُهُۥ
Maksudnya: Kitab yang benar dan tiada kesalahan pada ayatnya.(digunakan perkataan uhkimat) Surah Hud:1

Isnin
2 Jamadilakhir 1441
27 Januari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *