**TADABBUR WAHYU SIRI 499**

**3.9.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 10-11**

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَن تُغۡنِيَ عَنۡهُمۡ أَمۡوَٰلُهُمۡ وَلَآ أَوۡلَٰدُهُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيۡ‍ٔٗاۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمۡ وَقُودُ ٱلنَّار.

Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

Setelah menjelaskan tentang orang-orang beriman samada mengenai sifat dan balasan mereka, kini al-Quran menerangkan tentang kekufuran dan natijahnya.

Perbandingan seperti ini sentiasa menjadi trend yang sangat meluas dalam al-Quran, dimana keimanan dibadingkan dengan kekufuran, kenikmatan dibandingkan dengan kesengsaraan manakala kebaikan dibandingkan dengan keburukan.

Di zaman penurunan wahyu, orang-orang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah orang-orang kafir Mekah, Yahudi dan orang-orang Nasrani yang mengunjungi nabi untuk berdebat tentang ketuhanan nabi Isa.

Namun demikian maksud ayat yang umum menjadikan ayat ini tetap relevan kepada semua manusia yang kufur dengan Allah dan rasulnya tidak mengira dimana mereka tinggal dan tidak kira di zaman mana mereka hidup.

Terjemahan ayat di atas sebenarnya berdasarkan kepada salah satu daripada maksud ayat.

Jika diterjemahkan secara literal ayat diatas bermaksud: “sesungguhnya harta dan anak-anak orang-orang yang kufur tidak dapat melepaskan mereka dari Allah sedikitpun”

Mengikut Ibnu Asyur, terdapat dua maksud pada perkataan “tidak dapat melepaskan mereka dari Allah”.

Maksud pertama ialah mereka tidak dapat lari dari bergantung dan mengharapkan kepada nikmat dan rahmat Allah.

Sementara maksud kedua ialah mereka tidak dapat lari dari mentaati Allah di dunia ini. Ini kerana hanya ketaatan dan ketundukan kepada Allah yang akan membuatkan manusia terlepas dari azab Allah.

Dengan kefahaman seperti ini, makna ayat menjadi lebih luas dan menyeluruh tanpa bertentangan antara satu makna dengan makna yang lain.

Ketundukan kepada Allah dan rahmat dariNya membuatkan manusia berhak mendapat kenikmatan dan dilepaskan daripada siksaan samada di dunia ini atau di akhirat kelak. 

كَدَأۡبِ ءَالِ فِرۡعَوۡنَ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۚ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ ٱللَّهُ بِذُنُوبِهِمۡۗ وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
11-(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka.

Berdasarkan ayat ini, Ibnu Asyur mentafsirkan balasan yang bakal diterima oleh mereka yang kufur sebagai balasan di dunia dan balasan di akhirat. 

Mereka yang kufur diberi amaran dengan mengalami apa yang telah berlaku kepada firaun dan para penyokongnya.

Iaitu mereka telah ditenggelamkan oleh Allah dan mereka mendapat kebinasaan di dunia ini.

Adapun azab kedua ialah mereka dikenakan azab yang pedih di hari akhirat. Dengan itu kekufuran akan menerima balasan di dunia ini sebelum menerima balasan sebenar diakhirat.

Adapun contoh yang dipilih disini ialah Firaun dan penyokongnya kerana ia sangat bersesuaian dengan orang yang difokuskan dalam perbincangan ini.

Mereka ialah ahli kitab dan kisah Firaun adalah sangat terkenal dikalangan mereka maka cerita yang sedia diketahui adalah paling baik untuk diketengahkan demi membeikan kesan yang baik kepada kefaman mereka.

Sabtu
7 Jamadilakhir 1441
1 Februari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *