**TADABBUR WAHYU SIRI 500**

**3.10.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 12-13**

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ سَتُغۡلَبُونَ وَتُحۡشَرُونَ إِلَىٰ جَهَنَّمَۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ.

12-Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

Jika diperhatikan, beberapa ayat sebelum ini disampaikan dalam bentuk yang lebih lembut. Ini kerana ayat-ayat sebelum ini menggunakan gaya bahasa memberitahu dan berbincang.

Namun demikian, pada kali ini gaya penyampaian ayat telah berubah kepada memberi amaran.

Teknik penyampaian yang mendahulukan sikap berlemah lembut dan diikuti dengan ayat yang lebih tegasn menggambarkan hikmah yang tinggi.

Ia sekaligus menceritakan bahawa dakwah nabi saw berdepan dengan penentangan yang berterusan dan penolakan dari kaumnya. Penolakan itu terus dilakukan  walaupun mereka telah gagal membawa hujah dan bukti. Atas keadaan ini sifat ayat yang keras adalah bersesuaian.

Ayat ini menegaskan bahawa mereka yang memusuhi risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw akan menemui kekalahan di dunia dan siksaan di akhirat.

قَدۡ كَانَ لَكُمۡ ءَايَةٞ فِي فِئَتَيۡنِ ٱلۡتَقَتَاۖ فِئَةٞ تُقَٰتِلُ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَأُخۡرَىٰ كَافِرَةٞ يَرَوۡنَهُم مِّثۡلَيۡهِمۡ رَأۡيَ ٱلۡعَيۡنِۚ وَٱللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصۡرِهِۦ مَن يَشَآءُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبۡرَةٗ لِّأُوْلِي ٱلۡأَبۡصَٰرِ.
13-Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

Para ulama tafsir berbeza pandangan dalam mentafsirkan siapakah yang dimaksudkan dengan orang-orang kafir dalam ayat sebelum ini. Sebahagaian mereka mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang kafir arab. Buktinya ayat ini telah menyebut pertolongan Allah kepada orang-orang yang beriman dalam peperangan badar.

Namun demikian sebahagian pula mengatakan bahawa orang-orang kafir yang dimaksudkan ialah orang-orang Yahudi.

Kumpulan ini bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud.  Hadis ini menceritakan setelah berlakunya kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar, nabi saw telah pergi menemui kaum Yahudi dan mengajak mereka agar beriman kepada risalah yang dibawa oleh Baginda.

Namun demikian kaum Yahudi menjawab dengan kata-kata yang sangat biadab. Kata mereka Wahai Muhammad janganlah engkau berasa megah dengan kemenanganmu melawan kaum yang jahil dan tidak tahu berperang lalu engkau mendapat peluang kemenangan dari mereka. Demi Allah jika engkau memerangi kami nescaya engkau akan tahu siapa kami sebenarnya.

Terdapat sebuah riwayat lain berkaitan penurunan ayat ini tetapi melalui riwayat yang lemah dan disebut oleh al-Wahidi dalam kitab beliau.

Sesungguhnya Yahudi Madinah telah membuat perjanjian damai dengan Rasulullah saw tetapi apabila berlaku kekalahan kepada tentera Islam dalam peperangan Uhud, kaum Yahudi telah mencabuli perjanjian tersebut dengan pergi membuat hubungan dengan kaum musyrikin di Mekah.

Ketua kaum Yahudi yang berpwngaruh Ka’ab bin Ashraf telah pergi bersama 60 orang Yahudi lain menemui Abu Sufian. Mereka berjanji untuk menggabungkan kekuatan untuk menentang kaum muslimin.

Apabila mereka kembali ke Madinah, turunlah ayat ini mendedahkan pembelotan mereka.

Seperti yang disebut sebelum ini bahawa riwayat ini adalah daif kerana perawinya terdiri daripada al-Kalbi sedangkan dia adalah perawi yang dituduh sebagai berbohong.

Ahad
8 Jamadilakhir 1441
2 Februari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *