**TADABBUR WAHYU SIRI 501**

**3.11.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 14**
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمَ‍َٔابِ ۞
14-Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Ayat ini merupakan perincian kepada ayat lepas yang memberi amaran bahawa harta tidak dapat melepaskan orang-orang kafir dari siksaan Allah.

Ayat ini memberi amaran kepada orang beriman agar mereka tidak terjebak kepada apa yang telah berlaku terhadap orang-orang kafir.  Harta dan anak pinak telah melalaikan mereka dari bersedia untuk menghadapi hari akhirat.

Perkataan “syahwat” maksudnya sesuatu yang diingini dan menjadi daya penarik dimana seseorang akan mencintai dan menyayanginya.

Apabila nafsu syahwat telah menguasai segala keburukan  akan terselindung dan tidak dapat dilihat lagi. Dengan itu, berkemungkinan seseorang itu memilih perkara yang buruk jika dia berlandaskan nafsu yang bermain dalam dirinya.

Para ulama berbincang dari manakah nafsu syahwat itu datang. Apakah ia telah dijadikan secara semulajadi dalam diri manusia atau ia datang dari faktor luar seperti syaitan.

Ibnu Asyur berpendapat bahawa nafsu syahwah ada yang halal dan ada pula yang haram. Oleh itu, syahwah yang haram sahaja dibisikkan oleh syaitan. Ini kerana syaitan hanya akan mengajak manusia kepada yang haram. Adapun nafsu yang bukan dari bisikan syaitan maka ia adalah dari fitrah semulajadi manusia.

Ibnu Asyur berhujah dengan sebuah hadis dimana sahabat bertanya Rasulullah saw apakah seseorang yang mendatangi nafsunya juga dia mendapat pahala. Baginda saw menjawab: Tidakkah kamu lihat jika dia mendatangi sesuatu yang haram maka dia mendapat dosa maka begitulah jika dia meletakkannya pada yang halal maka untuknya pahala.

Nafsu yang disebut dalam ayat diatas ialah: wanita, anak dan harta. Kecenderungan terhadap tiga perkara ini tidak berubah samada pada zaman lampau, sekarang atau akan datang.

Kecondongan kepada wanita adalah ketetapan Allah yang telah dijadikan dengan hikmah yag sangat besar iaitu demi menjamin kelangsungan hidup manusia di dunia ini.

Dengan kecondongan yang sangat kuat ini maka kewujudan manusia di atas muka bumi ini tidak perlu di bawa dalam bentuk tanggungjawab yang sukar dan berat untuk dipikul oleh manusia. 

Adapun hadis nabi yang menyebut “tidak aku tinggalkan kepada kamu fitnah yang lebih besar daripada fitnah wanita” tafsirannya ialah Rasulullah saw tidak menyebut fitnah kepada wanita ialah lelaki. Ini kerana dari sudut nafsu, kemahuan lelaki terhadap wanita adalah lebih tinggi dan.

Adapun kecintaan wanita terhadap lelaki lebih berbentuk kasih sayang dan kebersamaan dalam hidup.

Disebut dalam ayat di atas bahawa kecintaan kepada anak adalah antara faktor yang mendorong manusia menjadi orang yang mengabaikan akhirat.

Ianya ditujukan kepada kedua-dua pihak samada lelaki atau perempuan kerana kedua-dua mereka mencintai zuriat dan anak pinak.

Anak juga akan menjadi harapan dan tempat bergantungnya ibu-bapa ketidak mereka telah mencapai umur tua.

Emas dan perak: Dua benda yang disebut sebagai perhiasan yang di sukai oleh nafsu manusia ialah emas dan perak.

Hal ini adalah kerana emas dan perak adalah logam yang menjadi nilaian matawang dan sangat berharga disepanajng zaman.

Kedua-dunya juga menjadi alat perhiasan manusia dimana Allah  menjadikan kedua-duanya logam yang dikehendaki oleh manusia.

Qanatir: berasal dari perkataan Qintar, iaitu sukatan sebanyak 100 ratl iaitu sukatan bagi perak. Qintar juga bersamaan 12,000 dinar. Ada juga yang mengatakan qintar ialah 100,000 dinar emas.

Al-Khail: kuda adalah termasuk dalam harta yang sangat digemari oleh manusia. Walaupun manusia telah berjaya mencipta berbagai kenderaan yang canggih, namun kuda tetap menjadi perhiasan dan kenderaan yang menjadi kesukaan ramai, seperti untuk bersukan, kenderaan rasmi dan perhiasan.

Sifat kuda itu disebut sebagai musawwamah , mengikut Ibnu Asyur ada yang mentafsirkan perkataan musawwamah sebagai terpelihara, sebagai isyarat kepada kuda itu tidak digunakan sangat oleh tuannya kerana masih banyak kuda lain. Iaitu menunjukkkan kepada kekayaan.

Ada juga yang mentafsikan sifat musawwamah sebagai makna “ditanda”. Iaitu tanda yang diletakkan pada kuda bagi menunjukkan kepada kemegahan dan kemewahan.

Al-An’am: iaitu binatang peliharaan yang terdiri daripada unta, lembu dan kambing. Harta seperti ini dahulunya adalah kekayaan bagi penduduk kampung yang menjadi penternak.

Firman Allah
وَالْأَنْعَامَ خَلَقَهَا ۗ لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَافِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ.
وَلَكُمْ فِيهَا جَمَالٌ حِينَ تُرِيحُونَ وَحِينَ تَسْرَحُونَ.

Maksudnya: Dan binatang ternakan kami jadikan untuk kamu padanya kamu memanaskan badan, mengambil manfaat dan darinya kamu makan.

Dan padanya perhiasan ketika kamu membawanya pulang atau ketika kamu mengeluarkannya untuk mencari makanan.
Surah al-An’am:5-6

Itulah kehindahan dan kenikmatan dunia dan disisi Allah adanya balasan dan ganjaran yang baik.

Isnin
9 Jamadilakhir 1441
3 Februari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *