**TADABBUR WAHYU SIRI 502**

**3.12.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 15**

قُلۡ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيۡرٖ مِّن ذَٰلِكُمۡۖ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا وَأَزۡوَٰجٞ مُّطَهَّرَةٞ وَرِضۡوَٰنٞ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ بَصِيرُۢ بِٱلۡعِبَادِ
15-Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan, Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

Perkara yang mahu disampaikan disini telah biasa didengari, kerana ia sekali lagi menerangkan tentang ganjaran mereka yang bertaqwa.

Namun demikian al-Quran menggunakan gaya bahasa yang berseni untuk menarik perhatian pendengar. Pertama, digunakan gaya bahasa suruhan “katakanlah”.

Ia bagi memaklumkan bahawa apa yang akan dikatakan ini adalah dari Allah. Sekaligus menyuruh agar nabi saw menyampaikan jawapan itu kepada umatnya.

Gaya kedua yang menarik perhatian pendengar ialah gaya pertanyaan. “Mahukan aku khabarkan kepada kamu”. Gaya seperti ini membuatkan pendengar merasa ingin mengetahui apakah yang akan disampaikan kepada mereka kerana pertanyaan ini merangsang minda pendengar.

Ayat ini menyifatkan orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang tidak dilalaikan oleh kehendak-kehandak dunia. Oleh itu, untuk mereka balasan yang sangat indah.

Apakah balasan yang indah itu? Jika nafsu dunia disebut dalam bentuk anak-pinak, haiwan ternakan dan harta, namun demikian, ayat ini hanya menyebut nikmat di akhirat berupa tempat tinggal yang indah dan pasangan yang suci sahaja.

Anak-anak dan harta tidak disebut sebagai satu nikmat di dalam syurga. Mengikut pandangan Ibnu Asyur, ini kerana di alam akhirat anak dan harta tidka diperlukan lagi sepertimana ia menjadi keperluan didunia ini.

Nikmat diakhirat disebut dalam ayat ini berbentuk keindahan tempat tinggal yang terdiri daripada taman-taman dan sungai-sungai.

Selain itu nikmat berpasangan juga disebut sebagai salah satu daripada nikmat diakhirat. Isteri diakhirat walaubagaimanpun disebut mempunyai satu sifat yang sangat istimewa. Ini kerana mereka tidak lagi memiliki sifat yang selama ini ada di dunia iaitu kedatangan haid dan nifas.

Mereka adalah wanita yang suci sepanjang masa. Bagi menyempunakan nikmat kepada orang-orang bertaqwa yang mendiami syurga Allah, mereka juga disifatkan sebagai orang-orang yang  mendapat keredaan Allah.

Jika nikmat-nikmat yang disebut sebelum ini adalah nikmat hissi atau fizikal, maka kali ini disebutkan bahawa mereka juga mendapat nikmat kebahagaiaan kerana diredai oleh Allah.

Dengan itu nikmat yang dikecapi oleh penghuni syurga adalah berbentuk jasmani dan rohani. Keduanya diberikan kepada orang-orang yang berjaya menghalang diri mereka daripada diganggu oleh keinginan dan nafsu ketika mereka berada di dunia ini.

Rangkap terakhir dalam ayat ini menyebut tentang sifat Allah yang Maha Melihat segala perbuatan hambanya.   Sifat ini adalah bersesuaian dengan maqasid ayat iaitu ketaqwaan.

Keupayaan manusia mengawal nafsu dari mengikut kehendaknya , maka betapa menghayati sifat Allah yang Maha melihat segala perbuatan hambanya aka dapat memberikan dorongan agar setiap muslim terus berpegang dengan suruhan Allah dan menjauhkan diri dari runtunan nafsu yang menggodanya.

Selasa
10 Jamadilakhir 1441
4 Februari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *